KEDA TURUN PADANG BANTU MANGSA BANJIR DI KEDAH

KEDA TURUN PADANG BANTU MANGSA BANJIR DI KEDAH

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang merupakan salah sebuah agensi Persekutuan yang bertapak di Kedah turut mengambil tindakan segera dalam membantu pengurusan banjir di Kedah.
Terbaru, KEDA telah membantu dengan menyelaras dua unit lori dan satu unit kenderaan pacuan 4 roda bagi mengangkut kelengkapan petempatan mangsa banjir.
Seramai 7 orang kakitangan KEDA terlibat dalam penyelarasan ini yang tertumpu di kawasan sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu. Mereka terdiri daripada Encik Abdul Rahman bin Ismail, Encik Zulfadzli bin Abu Bakar, Encik Mohd Nazri bin Mohd Nor dari Unit Pentadbiran Am serta Encik Azmer bin Mohd Nor, Encik Syaiful Nizar bin Roslan dan Encik Mohammad Hafiz Azim bin Saad dari Unit Logistik.
Antara agensi yang KEDA berkolaborasi untuk gerak kerja ini adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Semoga semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan dan semoga kehadiran KEDA dapat membantu mengurangkan beban pengurusan mangsa banjir di negeri Kedah tercinta ini.

KEDA KOMITED TERUSKAN PROGRAM JUALAN KASIH KEDA MADANI 2025

KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited untuk meneruskan Program Jualan Kasih KEDA MADANI pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM150,000.
Menurut Pengerusi KEDA, YBhg. Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom, pihaknya merancang mengadakan program ini di tiga lokasi utama iaitu di daerah Kulim, Baling, dan Padang Terap melalui perjanjian persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah.
“Kami merancang untuk memperluaskan program ini bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup. Melalui jualan ini, barangan seperti beras, ikan segar, sayur-sayuran, dan buah-buahan dapat diperoleh secara langsung daripada pengusaha dengan penjimatan harga sehingga 30 peratus.
“Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mempromosikan produk usahawan tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara KEDA dan FAMA sempena Jualan Kasih KEDA MADANI Tahun 2024 di Perkarangan Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh, Jitra, hari ini.
Tambah beliau, kerjasama ini juga membuka peluang baharu kepada usahawan KEDA, khususnya dalam bidang pertanian, untuk memasarkan produk mereka dengan sokongan dan kepakaran yang disediakan oleh FAMA.
“Ini adalah langkah strategik bagi memastikan produk usahawan KEDA bukan sahaja dipasarkan secara efektif tetapi turut meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap hasil tempatan,” jelasnya lagi.
Program Jualan Kasih KEDA MADANI yang dianjurkan sebelum ini mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat dan dilihat sebagai inisiatif murni untuk membantu meringankan beban rakyat.
PENGUNJUNG SERBU JUALAN KASIH KEDA MADANI DI PKD NAPOH

PENGUNJUNG SERBU JUALAN KASIH KEDA MADANI DI PKD NAPOH

KUBANG PASU – Cuaca hujan sejak pagi tidak menghalang kira-kira 4,000 pengunjung menyerbu Program Jualan Kasih KEDA MADANI 2024 bagi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga murah di Pekarangan Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh di sini, hari ini.
Tinjauan pada program itu mendapati pengunjung sekitar dan luar daerah Kubang Pasu tidak melepaskan peluang menyerbu Jualan Kasih KEDA MADANI itu seawal jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Pengerusi KEDA, YBhg. Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom berkata program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah turut membuat jualan ‘combo sale’ bernilai RM15 dan ‘happy’ hour’ dengan harga RM10 bagi tiga barangan iaitu seekor ayam, minyak dan gula.
“Walaupun hujan pagi ini tapi rakyat tetap datang kerana hendak mendapatkan bekalan makanan pada harga yang murah seperti beras, ikan, daging, sayur-sayuran-buah-buahan dan barangan usahawan.
“Jualan hari ini merupakan rentetan sambutan baik dan luar biasa yang diterima ketika penganjuran di Ibu Pejabat KEDA Alor Setar, Sik dan Yan baru-baru ini, objektif kita adalah mahu membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat seterusnya mensejahterakan penduduk luar bandar.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran program berkenaan di sini, hari ini.
Turut sama menjayakan program ini iaitu, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, YBhg. Dr. Mohamad Sofee bin Razak, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, YBhg. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Pengarah FAMA Negeri Kedah, YBhg. Puan Zuriana binti Mat Adam dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, YBhg. Encik Kharul Azmeer bin Abu Bakar serta barisan Ahli-ahli Lembaga Pengarah KEDA.
Program Jualan Kasih KEDA MADANI ini adalah rentetan sambutan baik dan luar biasa yang diterima ketika penganjuran Jualan Kasih KEDA yang lalu bertempat di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Pejabat KEDA Sik dan Desa KEDA Singkir Badong, Yan.
Program ini adalah salah satu inisiatif agensi mendukung aspirasi Malaysia MADANI yang berobjektifkan membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan jualan barangan keperluan rumah dengan harga dan potongan harga hampir 30 peratus.
Berjumpa lagi pada Jualan Kasih KEDA MADANI 2025 akan datang. Terima Kasih semua pihak yang menjayakan dan menyokong program ini dari awal penganjuran sehingga lokasi terakhir 2024.
JUALAN KASIH KEDA MADANI DI PKD NAPOH PENUTUP TIRAI 2024

JUALAN KASIH KEDA MADANI DI PKD NAPOH PENUTUP TIRAI 2024

KUBANG PASU – Program Jualan Kasih KEDA MADANI Tahun 2024 melabuhkan tirainya di Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh hari ini, selepas berjaya menarik perhatian hampir 10,000 pengunjung sepanjang siri penganjurannya di empat lokasi.
Program ini sebelum ini telah diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA Alor Setar, Sik, Desa KEDA Singkir Badong, Yan, dan diakhiri di Napoh, menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat.
Sebagai salah satu inisiatif mendukung aspirasi MADANI, program ini bertujuan membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan menawarkan jualan barangan keperluan harian pada harga istimewa, termasuk potongan sehingga 30 peratus.
KEDA, dengan kerjasama FAMA Negeri Kedah, menyediakan pelbagai barangan keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut, daging segar, dan barangan kering. Sebanyak 53 jenis item dijual, selain 20 produk usahawan tempatan yang turut dipromosikan.
Program melibatkan peruntukan sebanyak RM150,000, menzahirkan komitmen KEDA dalam membantu komuniti luar bandar dan usahawan tempatan.
Penganjuran Jualan Kasih KEDA MADANI bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi juga menyokong usaha meningkatkan ekonomi usahawan melalui platform jualan yang lebih meluas.
KEDA berharap melalui program ini,ia dapat terus memberikan manfaat kepada masyarakat di samping mendukung nilai-nilai MADANI dalam setiap inisiatif KEDA.
Program ini membuktikan keprihatinan KEDA dalam mendekati komuniti dan terus menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan kesejahteraan rakyat.
PENGURUS BESAR KEDA HADIRI LATIHAN MENEMBAK BERSAMA DYTM TUANKU KOMANDER REJIMEN 513 ASKAR WATANIAH

PENGURUS BESAR KEDA HADIRI LATIHAN MENEMBAK BERSAMA DYTM TUANKU KOMANDER REJIMEN 513 ASKAR WATANIAH

GURUN – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah dijemput bagi bersama-sama mengiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Brigedier Jeneral Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah ke sesi latihan menembak.
Selaku Komander Rejimen 513 Askar Wataniah, DYTM Brigedier Jeneral Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah perkenan untuk melaksanakan latihan menembak bersama Ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Kedah.
Sesi latihan telah berlangsung di Lapang Sasar, Kem Hobart, di sini dengan disertai jemputan iaitu ahli JAKPAW.
Lapang sasar ini terletak di kawasan Hutan Simpan Bukit Perak dan telah dibina oleh Tentera British pada tahun 1940 dan diwartakan pada tahun 1947.
Ianya dibina bagi tujuan latihan menembak senjata kecil dan senjata bantuan untuk Tentera British dan juga Rejimen Askar Gurkha yang berpangkalan di Kem Lapangan Terbang dan Kem Sungai Layar serta unit-unit berhampiran pada ketika itu.
Lapang sasar ini telah diberi nama Kem Hobart mengambil sempena nama pengasasnya iaitu Captain Hobart, seorang pegawai Tentera British.
TAKLIMAT PENGGUNAAN RACUN KIMIA PERTANIAN UNTUK PETANI MODEN DAERAH SIK TAHUN 2024

TAKLIMAT PENGGUNAAN RACUN KIMIA PERTANIAN UNTUK PETANI MODEN DAERAH SIK TAHUN 2024

TAKLIMAT PENGGUNAAN RACUN KIMIA PERTANIAN UNTUK PETANI MODEN DAERAH SIK TAHUN 2024
SIK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd. (ACM) telah menganjurkan Taklimat Penggunaan Racun Kimia Pertanian (Sawah) bertempat di KEDA Resort Charuk Tualang.
Program ini melibatkan 40 orang peserta yang merupakan petani moden di daerah Sik, dengan tanah pertanian yang diusahakan berjumlah hampir 600 relung.
Program ini dirasmikan oleh Pengurus Bahagian Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, yang menekankan kepentingan penggunaan racun kimia secara bertanggungjawab untuk meningkatkan produktiviti hasil tanaman.
Melalui taklimat ini, ACM memperkenalkan pelbagai produk racun terkini serta memberikan panduan tentang teknik penggunaan racun kimia yang betul.
Fokus utama adalah pada kaedah penggunaan racun dalam penanaman padi, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan hasil pertanian.
Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada para petani dalam mengoptimumkan hasil tuaian mereka sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Encik Sulaiman turut menyatakan bahawa program seperti ini penting untuk mempersiapkan petani moden dengan pengetahuan terkini bagi menghadapi cabaran dalam sektor pertanian.
KOLEJ KEDA PROMOSI KEMASUKAN PELAJAR SESI JANUARI 2025 DI KEDAHFM

KOLEJ KEDA PROMOSI KEMASUKAN PELAJAR SESI JANUARI 2025 DI KEDAHFM

ALOR SETAR – Terima kasih KedahFM atas kesudian untuk membantu mempromosikan kemasukan pelajar ke Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Kehadiran Kolej KEDA ke konti adalah untuk pemakluman dan promosi bagi sesi Januari 2025 tidak lama lagi.
Sesi temubual ini telah dihadiri oleh Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa. Turut hadir adalah Penolong Pengarah Kolej KEDA, Encik Muhammad Luqman bin Nazari.
Bagi sesi kemasukan baru ini sebanyak 8 Program Persijilan Kemahiran Malaysia ditawarkan melibatkan Program Teknologi Fabrik (Lelaki dan Wanita), Program Teknologi Kimpalan, Program Teknologi Elektirik, Program Teknologi Kulinari dan Program Teknologi Automotif manakala 1 program di peringkat Diploma dalam bidang Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.
Kolej KEDA yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan KEDA (PUSTIKA) telah ditubuhkan pada 1989 dengan Program Pembangunan di KEDA meliputi komponen pertanian, pembangunan bandar/wilayah, perindustrian, perniagaan dan tenaga manusia.
Justeru, pusat ini berperanan melaksanakan program latihan yang inovatif kepada kumpulan sasar dalam melengkapkan dan membantu usaha KEDA demi memastikan kejayaan program pembangunan dan perbandaran.
Program latihan bermula dalam bidang anyaman berasaskan buluh, bertam dan mengkuang. Latihan ini dikembangkan dalam bidang pertukangan dan pembinaan bagi memberi peluang kepada peserta menjana ekonomi melalui bidang pembinaan dalam Program Pembangunan Kampung Tradisional dan Program KESBAN.
Kolej KEDA kini telah menjalankan program Sijil Kemahiran Malaysia dengan menawarkan 7 Bidang Kemahiran iaitu Teknologi Kimpalan, Teknologi Elektrik, Teknologi Motosikal, Teknologi Makanan, Teknologi Fabrik Lelaki dan Wanita, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara dan Teknologi Automotif. Program-program ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dibawah Kementerian Sumber Manusia.
Jom Masuk Kolej KEDA!
Tarikh Tutup Pendaftaran adalah pada 10 Disember 2024.
Jangan Lepaskan Peluang
Kemahiran Membina Kecemerlangan
KAMPUNG SUNGAI ITAU SELIAAN KEDA MENJADI JOHAN ANUGERAH ASPIRASI DESA MADANI TAHUN 2024

KAMPUNG SUNGAI ITAU SELIAAN KEDA MENJADI JOHAN ANUGERAH ASPIRASI DESA MADANI TAHUN 2024

SERDANG – TAHNIAH KAMPUNG SUNGAI ITAU! Inilah ucapan penghargaan dapat digambarkan dari keseluruhan staf Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kepada Kampung Sungai Itau yang telah berjaya menjadi johan kategori kampung tradisional dan rumah panjang sempena Anugerah Aspirasi Desa MADANI bagi tahun 2024 ini.
Kampung ini adalah kampung dibawah seliaan Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi untuk pertandingan ini.
Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) 2024 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Digital, YB Wilson Ugak anak Kumbong, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Dato’ Afandi bin Nordin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Encik Mohd Kamal bin Husin.
Hadir mewakili KEDA pula adalah Pengurus Besar, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim dan staf Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Abdul Hadi bin Abdul Halim.
ADM ini adalah selaras dengan inisiatif Malaysia MADANI yang bertujuan memperkukuh potensi komuniti luar bandar dalam kepimpinan, pendidikan, kemahiran dan kesejahteraan ekonomi serta sosial.
Inisiatif ini juga menyokong pembangunan “Smart Village” dan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Sebanyak 115 kampung mengambil bahagian dalam ADM, dengan 42 kampung terpilih sebagai pemenang. Johan menerima RM30,000 untuk pembangunan sosio-ekonomi, yang merangkumi aktiviti ekonomi, keusahawanan, infrastruktur dan kreativiti komuniti desa.
Penganjuran ini juga bertepatan dengan persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Tahniah sekali lagi buat Kampung Sungai Itau. Semoga terus sukses dan menjadi contoh kepada kejayaan kampung lain di negeri Kedah ini.
TAKLIMAT KEUSAHAWANAN AGRO TANI DI SUNGAI PETANI

TAKLIMAT KEUSAHAWANAN AGRO TANI DI SUNGAI PETANI

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah dijemput untuk berkongsi taklimat mengenai keusahawanan Agro Tani kepada pelatih perusahaan kecil dan sederhana agro tani di Pusat Latihan dan Bimbingan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sungai Petani.
Program yang dianjurkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Kedah dan Perlis ini melibatkan penyertaan seramai 25 orang pelatih dari Negeri Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.
Taklimat berkaitan operasi KEDA dan program bantuan yang ditawarkan oleh KEDA telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Niagatani KEDA, Puan Nor Juhaini binti Jamaludin bersama Penolong Pengurus Pembangunan Usahawan, Cik Noor Shahida binti Jamil.
Melalui program ini, para peserta diberikan pendedahan mengenai peluang keusahawanan dalam bidang agro tani serta sokongan yang disediakan oleh KEDA untuk membantu mengembangkan perusahaan mereka.
Usaha ini selari dengan matlamat memperkasakan komuniti luar bandar melalui aktiviti ekonomi berasaskan pertanian.
Penganjuran program seperti ini menunjukkan komitmen berterusan PERHEBAT dan KEDA dalam mendukung pembangunan ekonomi dan kebajikan para veteran serta komuniti setempat.
KURSUS MYAGRO INCOME BERASASKAN KOMUNITI NEGERI KEDAH TAHUN 2024

KURSUS MYAGRO INCOME BERASASKAN KOMUNITI NEGERI KEDAH TAHUN 2024

SELANGOR – Kursus MyAgro Income Berasaskan Komuniti Negeri Kedah Tahun 2024 telah berjaya diadakan dari baru-baru ini bertempat di Dorsett Grand Hotel, Subang di sini.
Kursus ini dianjurkan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Kompetensi INFRA serta Bahagian Niagatani Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), dan telah melibatkan seramai 30 peserta.
Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan, ilmu terkini, serta latihan kepada para petani dalam memastikan mereka terus kompeten dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Selain itu, ia juga memfokuskan kepada penggunaan kaedah dan teknologi terkini dalam pertanian yang dapat meningkatkan pendapatan petani dengan kos yang minimum. Kursus ini turut dijadikan platform untuk memperluaskan jaringan hubungan dalam kalangan peserta sebagai petani.
Penceramah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyampaikan pelbagai modul yang relevan, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni dari Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).
Majlis penutupan kursus disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Kompetensi INFRA, YBhg Encik Mohd Nordin bin Ab Wahab. Beliau turut menyampaikan sijil kepada para peserta, di samping cenderahati kepada wakil penceramah daripada UPM serta Penolong Pengurus Niagatani KEDA, Nor Juhaini binti Jamaludin.
Sebagai tanda penghargaan, INFRA dan UPM turut menerima cenderahati daripada KEDA atas sokongan penganjuran kursus ini. Kursus ini diharapkan dapat memperkukuhkan peranan petani sebagai penyumbang utama sektor pertanian negara serta meningkatkan kualiti kehidupan komuniti luar bandar di Negeri Kedah.