KEDA TERUSKAN PROGRAM DAURAH KITAB UNTUK PEMANTAPAN ILMU KEAGAMAAN

KEDA TERUSKAN PROGRAM DAURAH KITAB UNTUK PEMANTAPAN ILMU KEAGAMAAN

BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam memperkasakan pendidikan agama di luar bandar dengan menganjurkan Program Daurah Kitab di beberapa madrasah terpilih di Kedah.
Program kerohanian ini dimulakan tahun ini di Madrasah Yayasan Al-Huffaz, Kuala Ketil, Baling, dengan penganjuran dua siri pengajian kitab.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara KEDA dan Yayasan Al-Huffaz, bertujuan untuk memperkukuh pemahaman masyarakat luar bandar terhadap ilmu agama.
Siri pertama program dikendalikan oleh Mudir Maahad Ihya’ Ulumuddin, Tuan Guru Ahmad Ridoudin Abdul Wahab, yang menyampaikan pengajian Kitab Al-Kharidah Al-Bahiyyah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat KEDA, Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Penganjuran Program Daurah Kitab ini membuktikan kesungguhan KEDA dalam memperkasakan pembangunan insan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar, melalui pemantapan ilmu kerohanian dan keagamaan.
PERLAWANAN PERSAHABATAN 3 PENJURU KEDA, KKDW DAN PERDA MERIAH DAN SENGIT

PERLAWANAN PERSAHABATAN 3 PENJURU KEDA, KKDW DAN PERDA MERIAH DAN SENGIT

ALOR SETAR – Perlawanan Persahabatan 3 Penjuru antara Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) berlangsung dengan penuh semangat kesukanan di Stadium Suka Menanti, di sini.
Program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan antara KKDW dan agensi-agensi di bawahnya melalui sukan dan aktiviti rekreasi.
Perlawanan melibatkan tiga kategori iaitu bola tampar, Mobile Legends, dan ping pong.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, YBhg. Dato’ Afandi bin Nordin, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, serta Ketua Unit Komunikasi Korporat PERDA, Encik Affandi bin Md Noor.
Antara perlawanan yang mencuri tumpuan ialah bola tampar wanita, di mana pasukan KEDA menampilkan aksi cemerlang dan dengan kemenangan ke atas KKDW.
Selain itu, KEDA turut mengungguli perlawanan ping pong, Mobile Legends, serta bola tampar lelaki, sekaligus membuktikan kehebatan pasukan mereka dalam acara sukan ini.
Program ini bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah antara KKDW dan agensinya tetapi juga meningkatkan semangat kesukanan serta kerjasama dalam kalangan peserta.
11 KELUARGA MENERIMA RUMAH PPRS DI DESA KEDA DAERAH PENDANG DAN POKOK SENA

11 KELUARGA MENERIMA RUMAH PPRS DI DESA KEDA DAERAH PENDANG DAN POKOK SENA

ALOR SETAR – Seramai 11 buah keluarga membabitkan sembilan pasangan suami isteri dan dua penerima ibu tunggal telah menerima tawaran untuk menduduki perumahan KEDA di daerah Pendang dan Pokok Sena.
Penyerahan tawaran membabitkan tujuh buah bina baru berkonsepkan K-Home manakala selebihnya rumah sedia ada yang dinaiktaraf setelah dikosongkan oleh peserta lama.
Penyerahan tawaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Omar, turut serta Pengurus Bahagian Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias Hassan, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 3 (Pendang/Pokok Sena), Encik Mohd Hafiz Ahmad serta kakitangan KEDA yang lain.
Didalam ucapannya, Hajah Afifah menasihatkan agar semua peserta menjaga rumah yang telah diberikan dengan baik dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan imej KEDA.
Beliau juga berharap agar semua peserta dapat bekerjasama dalam menjalankan aktiviti dan program di desa-desa KEDA kelak.
Beliau berkata demikian didalam satu sesi penyerahan tawaran dan ikrar kependudukan yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA baru-baru ini.
Kesemua peserta yang dipilih telah melalui beberapa tapisan khusus antaranya ujian AADK, temuduga dan siasatan diperingkat komuniti mereka tinggal.
Kesemua peserta yang dipilih daripada ratusan permohonan yang diterima masuk ke Desa KEDA menepati syarat khas yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Peserta KEDA.
KEDA membelanjakan RM553,000.00 untuk membina tujuh buah rumah K-Home dan RM80,000 untuk membaikpulih empat buah rumah sediaada sebelum diserahkan kepada peserta.
Pada tahun 2025, KEDA merancang untuk membina 20 buah rumah baru berkonsepkan K-Home di tapak-tapak kosong di Desa-Desa KEDA seluruh negeri Kedah.
CERAMAH ISRAK MIKRAJ TAMAN SEJAHTERA RAKYAT SUNGAI TOH PAWANG

CERAMAH ISRAK MIKRAJ TAMAN SEJAHTERA RAKYAT SUNGAI TOH PAWANG

KUALA MUDA – Surau Al-Ghazali, Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, Kuala Muda, Sungai Petani menjadi lokasi penganjuran ceramah khas sempena peristiwa Israk Mikraj yang berlangsung baru-baru ini.
Ceramah yang pada asalnya dijadualkan disampaikan oleh Ustaz Lutfi Amir bin Saidin telah digantikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom berikutan penceramah jemputan menerima berita dukacita mengenai pemergian adiknya di Tanah Merah, Kelantan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Puan Hajah Afifah Binti Haji Omar, serta pengurus-pengurus bahagian yang lain.
Kehadiran mereka mencerminkan komitmen KEDA dalam mendekati masyarakat melalui program keagamaan dan pendidikan rohani.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom, sebelum beliau menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 150 orang jemaah yang terdiri daripada penduduk setempat.
Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan peristiwa Israk Mikraj sebagai bukti keagungan Allah SWT serta hikmah yang boleh diambil daripada perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.
Antara intipati penting yang disampaikan termasuklah kewajipan solat lima waktu yang difardukan secara langsung dalam peristiwa ini, serta pengajaran mengenai keimanan dan kepercayaan umat Islam.
Beliau turut mengajak para hadirin untuk memperkukuh ketakwaan dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Penganjuran majlis ini mencerminkan semangat kerjasama antara komuniti setempat dan agensi kerajaan dalam menyemarakkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan ukhuwah dan nilai keagamaan dalam komuniti.
KEDA DAN MARDI ADAKAN MESYUARAT KERJASAMA STRATEGIK

KEDA DAN MARDI ADAKAN MESYUARAT KERJASAMA STRATEGIK

SELANGOR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengadakan mesyuarat kerjasama strategik di Ibu Pejabat MARDI Technology Commercialization Centre (MTBC), Serdang, hari ini.
Mesyuarat yang bermula pada jam 9.30 pagi itu diketuai oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, bersama Pengurus Bahagian Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor serta pegawai-pegawai dari Bahagian Niagatani KEDA.
Perbincangan utama mesyuarat ini tertumpu kepada pemerkasaan sektor pertanian dan industri asas tani di wilayah Kedah melalui pemindahan teknologi, peningkatan produktiviti pertanian, serta program latihan dan pembangunan usahawan tempatan.
Sebagai sebahagian daripada sesi lawatan kerja ini, delegasi KEDA turut dibawa meninjau projek dan produk inovasi yang diusahakan oleh MARDI bagi melihat secara langsung potensi teknologi yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan sektor pertanian di Kedah.
Kerjasama ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tani di negeri Kedah untuk meningkatkan daya saing serta memastikan sektor pertanian terus berkembang selari dengan arus pemodenan teknologi.
PROGRAM KAMPUNG ANGKAT 2.0 JNNK BERJAYA DISEMPURNAKAN DI DESA KEDA BENDANG MAN

PROGRAM KAMPUNG ANGKAT 2.0 JNNK BERJAYA DISEMPURNAKAN DI DESA KEDA BENDANG MAN

SIK – Program Kampung Angkat 2.0 anjuran Jemaah Nazir Negeri Kedah (JNNK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berjaya dilaksanakan di Desa KEDA Bendang Man, Sik.
Program yang bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar ini telah dirasmikan oleh Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, yang mewakili Pengurus Besar KEDA.
Turut hadir dalam menjayakan program ini ialah Timbalan Ketua Nazir Negeri Kedah, Tuan Haji Ramli bin Samsuri, wakil dari Pusat Dakwah Negeri Kedah, Ustaz Mohd Wafir bin Yusof, serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Puan Norsuyani binti Mohd Nor.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat, antaranya ialah Kursus Penyembelihan yang dikendalikan oleh Pusat Dakwah Negeri Kedah, bertujuan memberi pendedahan mengenai teknik penyembelihan yang betul mengikut hukum syarak.
Selain itu, Program Motivasi Keibubapaan yang dikendalikan oleh Jemaah Nazir Negeri Kedah turut diadakan bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan pendidikan serta peranan mereka dalam membentuk sahsiah anak-anak.
Dari aspek kesihatan, Yayasan Buah Pinggang Negara telah menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma bagi penduduk, manakala Lions Clubs turut menjalankan pemeriksaan mata untuk memastikan tahap kesihatan penglihatan penduduk sentiasa terjaga.
Dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, Petronas dengan kerjasama JKM telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk terpilih, manakala Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah menyumbangkan buku kepada Tadika KEMAS Desa KEDA Bendang Man bagi menambah bahan bacaan untuk kanak-kanak.
Selain itu, Yayasan Sultanah Bahiyah turut menghulurkan sumbangan kepada peserta Program Motivasi Keibubapaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh institusi keluarga.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan komuniti luar bandar dalam pelbagai aspek, termasuk pendidikan, kesihatan, dan kebajikan.
PROGRAM BACK TO SCHOOL : PERTANDINGAN TENPIN BOWLING DESA-DESA KEDA DAERAH BALING 2025

PROGRAM BACK TO SCHOOL : PERTANDINGAN TENPIN BOWLING DESA-DESA KEDA DAERAH BALING 2025

SUNGAI PETANI – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 5, Baling telah menganjurkan Program Back to School : Pertandingan Tenpin Bowling Peringkat Desa-Desa KEDA Daerah Baling yang berlangsung di Pusat Bowling Amanjaya, Sungai Petani.
Program ini melibatkan 20 orang peserta dari 9 Desa KEDA di Daerah Baling, bertujuan untuk meraikan pelajar-pelajar yang bakal memasuki alam persekolahan dengan aktiviti sukan di masa lapang.
Selain itu, ini salah satu bentuk penghargaan terhadap komitmen mereka dalam membantu menghidupkan dan memeriahkan program di desa KEDA masing-masing.
Walaupun ianya lebih kepada permainan boling berpasukan, turut diselitkan sesi sharing kepada peserta dengan menekankan kepentingan pembelajaran yang baik demi kemajuan masa depan.
Semoga dengan aktiviti ini, dapat memupuk semangat berpasukan dalam kalangan peserta, selain memberi dorongan kepada mereka untuk kembali ke sekolah dengan lebih bersemangat.
SESI KUNJUNG HORMAT DAN JARINGAN KERJASAMA KEDA-UPM

SESI KUNJUNG HORMAT DAN JARINGAN KERJASAMA KEDA-UPM

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima kunjungan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu sesi perbincangan jaringan kerjasama yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, di sini.
Perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Cengal, Aras 4, dipengerusikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, bersama pegawai daripada Bahagian Niagatani (BNT) KEDA.
Taklimat mengenai peranan dan operasi KEDA turut disampaikan bagi memberi gambaran menyeluruh tentang fungsi agensi dalam pembangunan luar bandar.
Delegasi UPM yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pembangunan Komuniti, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni, mewakili Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, turut berkongsi maklumat mengenai peranan UCTC dan program-program yang telah dijalankan.
Dalam sesi perbincangan itu, UPM mengemukakan beberapa cadangan kerjasama dengan KEDA, antaranya memperkukuhkan pembangunan dalam sektor pertanian, keusahawanan dan modal insan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Selain itu, UPM turut mencadangkan program latihan komuniti bagi memperkasakan kemahiran kumpulan sasar melalui penglibatan tenaga pakar dari universiti.
Kerjasama dalam bidang latihan staf dan pelatih turut dibincangkan bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja KEDA menerusi pemantapan kemahiran dalam bidang Subject Matter Expert (SME) serta penyediaan pakar rujuk bagi memperkasa penyampaian organisasi.
Selain itu, cadangan turut merangkumi pembangunan belia luar bandar dan komuniti Orang Asli dengan memberi penekanan kepada kemahiran rentas bidang yang merangkumi aspek fizikal, mental dan digital.
UPM juga mencadangkan kerjasama dalam inisiatif kecemerlangan pembangunan luar bandar serta penerbitan bahan ilmiah berkaitan kajian dan modul pembangunan komuniti.
Jalinan kerjasama yang dibincangkan ini diharap dapat memperkukuhkan usaha KEDA dalam membangunkan komuniti luar bandar dengan lebih sistematik dan berkesan, selaras dengan visi untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat di negeri Kedah.
SIRI PROGRAM CERAMAH ISRAK DAN MIKRAJ 1446H/2025M ZON 5, BALING MERIAH

SIRI PROGRAM CERAMAH ISRAK DAN MIKRAJ 1446H/2025M ZON 5, BALING MERIAH

BALING – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 5, Baling telah menganjurkan Siri Program Ceramah Israk dan Mikraj 1446H/2025M di sembilan lokasi berbeza dari 1 hingga 8 Februari 2025 dan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran keseluruhan 800 peserta.
Program ceramah dimulakan pada 1 Februari 2025 di Surau Al-Fallah, Desa KEDA Batu 8, dengan penyertaan 70 orang peserta. Seterusnya, pada 2 Februari 2025, ceramah berlangsung di Surau Ittifaqiah, Desa KEDA Keledang, yang dihadiri 90 peserta.
Pada 4 Februari 2025, program diteruskan di Surau Al-Fattah, Desa KEDA Ulu Legong, yang menghimpunkan 70 orang peserta.
Sementara itu, pada 5 Februari 2025, tiga lokasi ceramah telah diadakan serentak, iaitu di Desa KEDA Banggol Petai dengan 60 peserta, Surau An-Nur, Desa KEDA Sadek dengan 70 peserta, serta program perdana di Masjid Kampung Bakai, Ulu Bakai, yang mencatat kehadiran tertinggi sebanyak 240 peserta.
Pada 6 Februari 2025, ceramah berlangsung di Surau Al-Insaf, Desa KEDA Teluk Teduri, yang dihadiri 70 peserta, serta di Surau Al-Hidayah, Desa KEDA Kemangi, dengan kehadiran 80 peserta.
Program ini kemudiannya melabuhkan tirai pada 8 Februari 2025, dengan penganjuran di Surau Desa KEDA Bandar, yang disertai 80 orang peserta.
Penganjuran siri ceramah ini bertujuan untuk memperingati peristiwa Israk dan Mikraj serta menggalakkan masyarakat menghayati pengajaran daripada peristiwa tersebut.
Pejabat KEDA Zon 5 Baling mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk penceramah, pengurusan masjid dan surau, serta seluruh penduduk setempat yang hadir.
Program sebegini diharap dapat diteruskan untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam kalangan komuniti luar bandar.
PROGRAM SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ DESA KEDA PASIR PUTIH 2025 MERIAH DENGAN PENGISIAN KEAGAMAAN

PROGRAM SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ DESA KEDA PASIR PUTIH 2025 MERIAH DENGAN PENGISIAN KEAGAMAAN

PADANG TERAP – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 2 Padang Terap dengan kerjasama penduduk Desa KEDA Pasir Putih telah menganjurkan Program Sambutan Israk Mikraj 2025, yang berjaya menarik penyertaan lebih 150 orang penduduk setempat.
Majlis turut dihadiri oleh wakil Pejabat KEDA Zon 2 Padang Terap, iaitu Encik Maswari bin Mohammad Radzhi dan Encik Syaril bin Idris, yang bersama-sama menyantuni masyarakat setempat dalam program keagamaan yang penuh bermakna ini.
Program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan jamuan makan malam, sebelum diteruskan dengan pertandingan azan dan hafazan yang berlangsung selepas solat Isyak.
Seramai 10 kanak-kanak lelaki menyertai pertandingan azan, manakala 11 kanak-kanak perempuan mengambil bahagian dalam pertandingan hafazan.
Penganjuran program ini bukan sahaja menghidupkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat Desa KEDA Pasir Putih, malah memberi peluang kepada generasi muda untuk mendalami ilmu agama serta memahami kepentingan solat yang menjadi inti pati utama peristiwa Israk Mikraj.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh kecintaan umat Islam terhadap ajaran Rasulullah SAW serta mempereratkan ukhuwah dalam komuniti.