KEDA PERUNTUK RM3.37 JUTA LAKSANA PROGRAM KETERJAMINAN MAKANAN

KEDA PERUNTUK RM3.37 JUTA LAKSANA PROGRAM KETERJAMINAN MAKANAN

ALOR SETAR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan sebanyak RM3.37 juta bagi melaksanakan Program Keterjaminan Makanan di Kedah pada tahun ini.
Agensi ini terlibat memastikan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 melalui Projek Pertanian Luar Bandar (PPLB) dengan nilai RM2.12 juta dan Projek Pembangunan Sawah di kawasan Wilayah Kedah pula sebanyak RM1.25 juta.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, YB. Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, berkata, sasaran bagi projek PPLB melibatkan 115 usahawan tani dengan keluasan 71 hektar dengan tujuan membantu peserta pertanian meningkatkan pendapatan, meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan kebergantungan import.
“Kita bantu dengan memberikan input pertanian, peralatan, mesin pertanian dan industri asas tani. Kita juga membaik pulih dan menaik taraf tanah terbiar serta memberi latihan, kursus, promosi dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Hadir sama adalah Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Hajah Afifah binti Haji Omar.
YBhg. Datuk Hajah Rubiah turut menjelaskan bagi projek pembangunan sawah pula, KEDA mensasarkan untuk pemulihan tahun ini adalah sebanyak 50 hektar sawah, membaik pulih lima kilometer (km) sistem perparitan serta 7.5 km jalan pertanian.
Menurutnya, terdapat 2,654 hektar tanah terbiar di Kedah yang tidak dimajukan ketika ini dan dianggarkan sebanyak 2,000 hektar atau 85 peratus tanah terbiar adalah di dalam wilayah KEDA.
“Objektif program pemulihan tanah terbiar di Kedah adalah untuk membantu petani dan pesawah mengoptimumkan penggunaan tanah dalam menyokong program keterjaminan makanan negara.
“Selain padi, ada peserta kita yang tanam nenas, durian, cili dan buah-buahan lain, sejak 2014 hingga tahun lalu, KEDA telah mengusahakan 1,154 hektar tanah terbiar dan seramai 1,772 penerima manfaat,” ujarnya.
Tambah Rubiah, mereka belum menetapkan sasaran spesifik berkenaan jumlah peratusan sasaran KEDA dalam membantu membekalkan makanan kepada negara.
“Pada masa ini kita memberi khidmat dalam bentuk sosial ekonomi kepada masyarakat luar bandar, kita mesti ada objektif yang perlu dilengkapi KPI (petunjuk prestasi utama) dan perolehan daripada program kita laksanakan.
“Saya tak boleh noktahkan di sini hari ini sebab kita perlu penilaian tertentu bagi pastikan peranan dan tanggungjawab kita itu dapat kita mainkan dengan sebaiknya,” katanya lagi.
HARI PERTAMA LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE KEDA

HARI PERTAMA LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE KEDA

KUBANG PASU – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah hadir hari ini bagi lawatan 3 hari ke Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Lawatan yang bermula 13 Julai 2024 sehingga 15 Julai 2024 ini adalah bertujuan untuk bertemu dengan pengurusan, warga kerja serta pemegang taruh agensi ini.
Selain itu, kehadiran Timbalan Menteri KKDW adalah bagi meninjau dan memantau projek-projek yang diuruskan oleh KEDA sepanjang tahun 2024 ini.
Seusai tiba di Alor Setar, Kedah, delegasi YB Timbalan Menteri KKDW telah dibawa melawat projek tanaman nanas di Kampung Darat, Changlun.
Turut hadir dalam sesi lawatan adalah Ahli Lembaga Pengarah KEDA, YBhg. Dato Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Antara pengurus bahagian yang sama-sama turut serta dalam sesi lawatan ini adalah Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengurus Khidmat Pengurusan, Cik Shuhaila binti Hamzah dan Pegawai Pembangun KEDA Zon 8, Kota Setar/Kubang Pasu, Encik Muhammad Ramlan bin Jaafar.
Projek tanaman nanas merupakan salah satu projek dibawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bg memfokuskan dasar keterjaminan makanan dengan melibatkan ramai peserta di seluruh wilayah KEDA di mana seramai 11 orang peserta adalah dari daerah Kubang Pasu.
Projek tanaman nanas di daerah ini melibatkan keluasan tanaman seluas 83 ekar dan menpunyai purata anggaran sebanyak 60,000 nanas yang ditanam oleh hampir setiap peserta.
Hasil pandangan semua pihak dari lawatan ini, KEDA berharap dapat melestarikan projek-projek pertanian di Negeri Kedah dengan membuka lebih banyak lagi peluang dan potensi petani untuk dibimbing terutama kepada pengusaha projek tanaman nanas.
Langkah menambah nilai hasil daripada nanas selain jualan buah segar dan benih sulur oleh peserta kepada pengeluaran produk pemprosessan atau aktiviti industri asas tani (IAT) seperti pembuatan produk jus nanas, sos, jem dan sebagainya dapat dilaksana dalam meningkatkan lagi pendapatan dan ruang peserta menceburi di dalam industri pembuatan produk makanan.
KEDA UTAMAKAN LATIHAN LANGSUNG TENAGA PAKAR KEPADA KAKITANGAN UNTUK KEDA MAP

KEDA UTAMAKAN LATIHAN LANGSUNG TENAGA PAKAR KEPADA KAKITANGAN UNTUK KEDA MAP

Alor Setar – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan lebih memberi keutamaan kepada usaha memberi latihan secara langsung oleh tenaga pengajar berkepakaran dalam bidang berkaitan kepada kakitangannya.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, semasa merasmikan Sesi Latihan Kemasukan Data Secara Kelompok Bagi KEDA MAP.
Sesi latihan kali ini dikendalikan secara langsung oleh pegawai dari Pusat Geospatial Negara (PGN) yang diketuai oleh Puan Azira binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan, PGN bersama tiga orang lagi pegawai.
Latihan bertujuan memberi pendedahan secara langsung termasuk mengadakan sesi praktikal kepada kakitangan KEDA yang berkenaan, untuk memasukkan dan mengemas kini data dalam sistem KEDA MAP.
Sistem KEDA MAP adalah suatu sistem ekslusif yang dibangunkan secara dalaman oleh Unit Teknologi Maklumat bersama Bahagian Hartanah dan Prasarana dengan kerjasama Pusat Geospatial Negara sejak tahun 2009.
Hasil kerjasama baik ini membolehkan KEDA menggunakan portal pengkalan MYGOS secara percuma mulai tahun 2017, setelah perbincangan dan kebenaran diperoleh daripada PGN dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Sistem KEDA MAP menyediakan platform kepada KEDA melalui kakitangannya untuk memasukkan data geospatial berkaitan penduduk Desa-desa KEDA, projek infrastruktur dan bantuan-bantuan ekonomi yang disalurkan.
Pengurus Besar berharap pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam membangunkan dan menggunakan sistem KEDA MAP ini akan terus memaksimumkan potensi sistem sebaik mungkin dan segala data geospatial yang ada dapat digunakan dengan tepat.
Sesi latihan kali ini turut disertai oleh Encik Rojani bin Romeli, Pengurus Hartanah dan Prasarana bersama 31 orang peserta yang mewakili bahagian-bahagian dan Pejabat-pejabat KEDA Zon.
KURSUS KEPIMPINAN ORGANISASI BELIA DAERAH KOTA SETAR LAHIR KEPIMPINAN BELIA BERKETERAMPILAN

KURSUS KEPIMPINAN ORGANISASI BELIA DAERAH KOTA SETAR LAHIR KEPIMPINAN BELIA BERKETERAMPILAN

PADANG TERAP – Pejabat KEDA Zon 8, Kota Setar/Kubang Pasu dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Setar telah berjaya melaksanakan Kursus Kepimpinan Organisasi Peringkat Daerah Kota Setar bertempat di Mahawangsa House Boat Tasik Pedu, Kuala Nerang, baru-baru ini.
Objektif program ini adalah untuk melahirkan pemimpin belia yang berketerampilan ke arah menzahirkan sifat-sifat amanah, berbudi pekerti, rajin, berdisiplin, ikhlas, dan tekun dalam semua usaha.
Antara pengisian program adalah latihan dalam kumpulan yang merangkumi kepimpinan, aktiviti air/water confidence, pengurusan organisasi, pemikiran kreatif, dan Taklimat Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM).
Seramai 40 orang peserta terlibat dalam program ini. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 8, Encik Muhamad Ramlan bin Jaafar.
Turut hadir dalam program ini adalah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Setar, Puan Nazifah binti Muhamad Zubir dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kubang Pasu, Encik Megat Shahrom Bashir bin Makhzir.
KEDA SERTAI PROGRAM JIWA KOMUNITI PARLIMEN KUALA KEDAH

KEDA SERTAI PROGRAM JIWA KOMUNITI PARLIMEN KUALA KEDAH

Alor Setar – Program JIWA Komuniti Madani peringkat Parlimen Kuala Kedah telah diadakan di pekarangan Muzium Kuala Kedah, turut disertai oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam berkongsi matlamat yang sama iaitu menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
KEDA mengadakan pameran dalam program tersebut, menyebarkan maklumat mengenai program bantuan yang ditawarkan, cara permohonan dan peluang pengajian TVET di Kolej KEDA. Malah petugas reruai KEDA telah berjaya membantu beberapa pemohon yang berkelayakan untuk melengkapkan permohonan secara dalam talian menggunakan Sistem Permohonan Bantuan KEDA yang dibangunkan secara dalaman sepenuhnya.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Hakim Ariff bin Md Noor, Pegawai Daerah Kota Setar dan turut dihadiri oleh Tuan Asmirul Anuar bin Aris, Pengerusi MADA Corp serta Puan Siti Nor Salwa binti Abdul Razak, Pegawai Penerangan Daerah Kota Setar dan pimpinan masyarakat setempat. YBhg. Dato’ Haji Hakim Ariff turut meluangkan masa melawat lori pameran KEDA dan mendengar taklimat ringkas mengenai sistem permohonan bantuan secara dalam talian yang digunakan KEDA.
Masyarakat sekitar dan orang ramai yang hadir telah disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan sukaneka, pameran jabatan dan agensi, pertunjukan khas anjing pengesan oleh pasukan Polis DiRaja Malaysia, jualan barangan keperluan asas dengan harga lebih murah dan aktiviti menderma darah dikendalikan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ternyata Program JIWA Komuniti Madani ini amat berkesan dalam menghimpunkan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai program kerajaan serta berpeluang mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan secara langsung.
KEDA SERTAI PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ZON TIMUR

KEDA SERTAI PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ZON TIMUR

KUANTAN – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah terlibat dalam menjayakan dan memeriahkan Program MADANI Rakyat 2024 (PMR 2024) bagi Zon Timur di sini.
KEDA yang telah berkampung sejak awal karnival bermula iaitu 5 Julai 2024 sehingga 7 Julai 2024 ini telah menyediakan Laman Ternakan untuk para pengunjung yang hadir.
Terdapat pelbagai haiwan eksotik, mamalia dan reptilia dipersembahkan selain laman landak dan juga laman arnab.
Namun, lebih mengujakan, bagi mensimbolikkan sendiri lokasi PMR 2024 iaitu di Negeri Pahang yang terkenal sebagai negeri Tok Gajah ini, KEDA dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) telah membawa gajah untuk tontonan pengunjung yang hadir.
PMR 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff turut ke Kuantan bagi menyertai dan memeriahkan PMR 2024 kali ini.
Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu.
Program ini diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
PROGRAM BAKTI SISWA DAN MINI KARNIVAL IPT DESA KEDA BENDANG MAN KONGSI PELBAGAI ILMU

PROGRAM BAKTI SISWA DAN MINI KARNIVAL IPT DESA KEDA BENDANG MAN KONGSI PELBAGAI ILMU

SIK – Program Bakti Siswa dan Mini Karnival Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang dianjurkan oleh Pejabat KEDA Zon 4, Sik, meriah dengan perkongsian pelbagai ilmu daripada pihak-pihak yang terlibat menjayakan program ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari di Desa KEDA Bendang Man, Sik, ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang memberi motivasi kepada penduduk, terutamanya anak-anak Desa KEDA, untuk menjadi lebih cemerlang.
Perasmian program dimulakan dengan ucapan oleh Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA yang mewakili Pengurus Besar KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar.
Seterusnya, Dekan Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya PMgr Sr. Dr. Mohamad Sukeri bin Khalid, turut menyampaikan ucapan.
Antara acara yang berlangsung termasuk Ceramah Keusahawanan oleh Prof Madya Dr. Johan Afendi bin Ibrahim yang melibatkan peserta Bantuan Ekonomi Daerah Sik.
Selain itu, Ceramah Motivasi oleh Dr. Mohd Fikri bin Yazan yang melibatkan mahasiswa UUM dan belia Desa KEDA Bendang Man turut menjadi tarikan.
Lebih menarik, penganjuran Ceramah Kepimpinan oleh Prof Madya Dr. Mohd Che Aziz bin Yaacob melibatkan peserta Pengurusan 4P Desa KEDA Daerah Sik. Ceramah PERKESO oleh Encik Mohd Ammar bin Mohd Rashid juga mendapat sambutan hangat.
Program ini diharap dapat memberi impak positif dan meningkatkan semangat dalam kalangan penduduk Desa KEDA Bendang Man untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
PROGRAM SAMBUTAN AWAL MUHARAM 1446H DI DESA KEDA KEMANGI

PROGRAM SAMBUTAN AWAL MUHARAM 1446H DI DESA KEDA KEMANGI

BALING – Program Sambutan Awal Muharam 1446H/2024M telah berlangsung dengan meriah di Desa KEDA Kemangi baru-baru ini.
Program ini diisi dengan berbagai aktiviti menarik sempena tahun baharu Islam, termasuk ceramah agama Maal Hijrah.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5, Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil.
Program ini juga mendapat kerjasama daripada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Zabidi bin Nasan.
Yayasan Taqwa turut menyampaikan sumbangan kepada 90 Ketua Isi Rumah (KIR) di Desa KEDA Kemangi dan kawasan sekitarnya.
Selain itu, seramai 30 orang pelajar sekolah rendah juga turut diraikan dengan menerima sumbangan berupa beg sekolah dan wang tunai sebanyak RM100 setiap seorang.
KEDA merakamkan jutaan terima kasih kepada MAIWP atas sumbangan yang diberikan kepada penerima.
Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh komuniti luar bandar dan memberikan sokongan yang bermakna kepada mereka yang memerlukan.
PEJABAT KEDA ZON 4, SIK BENTUK PELAJAR BINA KETAHANAN MENTAL DAN FIZIKAL LEBIH TINGGI

PEJABAT KEDA ZON 4, SIK BENTUK PELAJAR BINA KETAHANAN MENTAL DAN FIZIKAL LEBIH TINGGI

KUALA MUDA – Pejabat KEDA Zon 4, Sik, berjaya mengadakan Kem Bina Semangat dan Perkhemahan Perdana Sekolah Kebangsaan Kampung Kota Bukit, Sik selama 3 hari 2 malam di Kem D’Omland Teluk Bayu, Sungai Petani.
Program ini melibatkan seramai 80 pelajar yang mengikuti pelbagai modul outdoor dan indoor yang bertujuan melahirkan pelajar dengan daya tahan tinggi.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuk mendaki, latihan berpasukan, dan sesi pembelajaran di dalam kelas yang semuanya dirancang untuk membina semangat kerjasama dan ketahanan diri.
Majlis perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik yang mewakili Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa bangga dengan penyertaan dan semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang program berlangsung.
“Program seperti ini sangat penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi,” katanya.
Para pelajar yang terlibat juga menyuarakan rasa gembira dan puas hati dengan pengalaman yang diperoleh sepanjang kem tersebut, serta berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
KEDA KOMITED LAHIRKAN 40 TUKANG GUNTING RAMBUT PROFESIONAL

KEDA KOMITED LAHIRKAN 40 TUKANG GUNTING RAMBUT PROFESIONAL

ALOR SETAR – Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berupaya melahirkan 40 usahawan tukang gunting rambut professional.
Harapan ini disuarakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Peserta Tajaan KEDA “Kursus Gunting Rambut Profesional Lelaki” Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Tahun 2023 baru-baru ini.
Pada tahun 2023, KEDA telah menerima peruntukan keseluruhan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM600,000.00 bagi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), dan salah satunya adalah Kursus Gunting Rambut Profesional Lelaki.
Program PLKK ini melibatkan 40 orang peserta sekitar Negeri Kedah terdiri dari Ahli Isi Rumah (AIR) B40 yang layak dan berminat untuk bekerja dalam industri gunting rambut profesional.
Program Latihan Kemahiran & Kerjaya (PLKK) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) merupakan satu program yang diwujudkan oleh KKDW untuk meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya mengeluarkan mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan.
PLKK menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mengikuti kursus jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Sijil Kemahiran Malaysia Tahap I,II dan III.
Kos bagi seorang peserta bagi kursus ini adalah sebanyak RM2,700 dan bantuan ini merangkumi yuran latihan, elaun sara diri peserta, makan minum, penginapan, dan alat- alat bantuan untuk latihan dengan jumlah keseluruhan kos bagi Program ini adalah sebanyak RM108,000.00.
Diharapkan kesemua 40 orang peserta yang terlibat dalam kursus ini mendapat manfaat dan peningkatan kemahiran serta kompentensi yang lebih tinggi untuk menempatkan dan menyesuaikan diri apabila berada di dalam industri.
Terima kasih Pertubuhan Peladang Kawasan Lubuk Batu kerana berjaya berkolaborasi bersama pihak Academy Mattpull Barbershop bagi memastikan 40 orang peserta bagi Kursus Gunting Rambut Profesional Lelaki ini mendapat ilmu dan latihan bagi memantapkan kemahiran diri dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi diri peserta serta keluarga mereka.