SESI KUNJUNG HORMAT PENGARAH KEMAS KEDAH

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah menerima kunjungan hormat dari Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Kedah, YBhg. Encik Noor Azman bin Abd Rahman.
Turut bersama-sama Pengurus Besar KEDA dalam sesi ini adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
KEDA dan KEMAS adalah merupakan agensi yang bernaung dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kedua-duanya mempunyai peranan masing-masing dimana KEMAS terkenal dengan program pembangunan kanak-kanak manakala KEDA mencakupi People Prosperity Strategy sejak awal penubuhan pada tahun 1981.

KEDA PERUNTUKAN RM250,000 BAGI PROGRAM MENTOR MENTEE

KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima peruntukan keseluruhan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM250,000 bagi Program Mentor Mentee di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini.
Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata KEDA kini mempunyai seramai 3 mentor dan 25 mentee yang berdaftar dengan peruntukan berkenaan. Beliau menjelaskan, setiap mentee yang terpilih diberi bantuan maksimum sebanyak RM10,000 dan ini merangkumi kos latihan, kursus dan peralatan.
“Mentor akan membekal semua peralatan dan akan memantau setiap mentee di bawah mereka.
“Di bawah program ini, bantuan adalah merangkumi peralatan, latihan dan kursus yang dikendalikan oleh mentor secara ‘one to one coaching’ dan semua mentee yang terlibat dengan program ini telah disemak dan dipastikan bahawa mereka masih aktif menjalankan perniagaan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Peralatan bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Mentor Mentee di Darulaman Golf Club, Jitra, hari ini.
Ismasuhaimi berkata, bagi program mentor mentee ini terdapat tiga bidang iaitu bidang penyejukbekuan dan penyaman udara, jahitan serta makanan ala Thai.
Jelas beliau, pihak KEDA akan memantau mentor dan setiap mentee selama setahun seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKDW.
“Walaupun tempoh pemantauan program telah tamat, pihak KEDA akan memastikan mentor akan terus memantau dan membantu mentee untuk terus meningkatkan pendapatan.
“Diharap agar mentor dan semua mentee terus konsisten dalam menjayakan program ini dan boleh menjadi contoh kepada model perniagaan yang lain pada masa akan datang,” katanya.

KEDA TERUS MEMBANTU USAHAWAN BIDANG PENYEJUKBEKUAN DAN PENGHAWA DINGIN

KUBANG PASU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited membantu usahawan Bidang Penyejukbekuan dan Penghawa Dingin di negeri ini melalui Program Mentor Mentee di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP).
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata, pada tahun ini, KEDA telah bekerjasama dengan MKR Waja Enterprise yang dilantik sebagai mentor kerana merupakan sebuah syarikat yang menjalankan kursus Heating Ventilation Air Conditioning dan merupakan sebuah syarikat pembekal penghawa dingin di Utara Semenanjung Malaysia.
“Kos keseluruhan Program Mentor Mentee bersama MKR Waja ini adalah sebanyak RM100,000 dengan melibatkan 10 orang peserta sekitar Kedah dan mereka terdiri dari Ketua Isi Rumah (KIR) B40 yang layak serta mempunyai pengalaman dalam bidang penghawa dingin.
“Bantuan maksimum adalah sebanyak RM10,000 bagi seorang mentee yang merangkumi kos latihan, kursus dan peralatan. Mentor akan membekal semua peralatan dan akan memantau setiap mentee di bawah mereka.” katanya ketika Majlis Perasmian dan Penyerahan Peralatan PPP di Darulaman Golf Club, di sini.
Beliau berkata, Program Mentor Mentee ini berupaya melahirkan ramai usahawan dalam bidang penghawa dingin di negeri ini.
Ismasuhaimi berkata, pelaksanaan PPP adalah bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah B40 di luar bandar di Negeri Kedah melalui penglibatan mereka di dalam projek-projek ekonomi yang berupaya meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.

LAWATAN PENANDA ARAS PPRT KEDA KE PERDA

PULAU PINANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengadakan Lawatan Penanda Aras Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dalam usaha memperkasa pengurusan PPRT di Kedah.
Rombongan KEDA ini disambut oleh kakitangan PERDA yang diketuai oleh Pengurus Pembangunan Insan PERDA, Puan Massuria binti Mat Husin.
Seramai 50 peserta menyertai lawatan itu yang diketuai oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar.
Lawatan kerja ke PERDA itu bertujuan berkongsi idea berkaitan program, gerak kerja, urus tadbir bahagian-bahagian agar dapat diguna pakai di KEDA.
Terima kasih kepada PERDA kerana kesudian menerima lawatan dari KEDA dan berharap hubungan silaturrahim KEDA dan PERDA terjalin erat.

CERAMAH ISRAK MIKRAJ KEDA “DI SEBALIK UJIAN ADA KEMANISAN”

ALOR SETAR – Sempena meraikan salah satu hari penting dalam kalendar Islam, pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menganjurkan Ceramah Israk dan Mikraj “Di Sebalik Ujian Ada Kemanisan”.
Ceramah yang diurus selia oleh Jawatankuasa Surau An-Nur KEDA ini telah berlangsung di surau Kompleks Ibu Pejabat KEDA.
Syeikh Mohd Ikmal Hafif bin Azmi, Pegawai Agama Daerah Pokok Sena telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan berkenaan peristiwa ini.
Tuan Syeikh menggunakan pendekatan berbeza disebalik penceritaan peristiwa Israk dan Mikraj, beliau lebih menumpukan kepada ibrah peristiwa ini yang boleh dijadikan landasan dalam kehidupan manusia di dunia untuk berjaya di akhirat.
Antara perkongsian lain oleh Tuan Syekih adalah istimewanya solat, salah satu kewajipan kepada umat Islam disebalik peristiwa agung ini.
Solat adalah satu momen rehat dan pertemuan antara hamba kepada pencipta dan hamba kepada kekasih abadinya.

KEDA TEKANKAN SEMANGAT BERPASUKAN DAN KERJASAMA DALAM URUSKAN PPRT DI KEDAH

PULAU PINANG – Pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sangat menekankan semangat kerja berpasukan dan kerjasama kepada pegawai pelaksana Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kedah.
Penekanan itu diberikan melalui beberapa aktiviti yang disediakan sempena Program Lawatan Penanda Aras PPRT KEDA ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Pada program itu, seramai 50 pegawai dan kakitangan KEDA mengikuti lawata ini yang dimulakan dengan lawatan ke Kampung Labuh Banting, Sungai Dua, Pulau Pinang.
Rombongan tiba sekitar jam 10 pagi dan disambut oleh ahli Koperasi Kampung Labuh Banting di bawah Projek Desa Lestari yang dilaksanakan PERDA.
Pegawai KEDA telah menyertai aktiviti berkumpulan di kawasan kampung itu untuk berkongsi pengalaman kehidupan kampung di Pulau Pinang disamping menimba ilmu tentang praktikaliti PPRT di Pulau Mutiara ini.
Terima kasih PERDA atas pengaturan acara yang begitu bermakna buat kakitangan KEDA disana. Semoga jalinan kerjasama antara dua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini akan terus signifikan demi Malaysia Madani.

KEDA HASRAT BANGUNKAN TANAMAN PADI WANGI

SELANGOR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berhasrat bakal membangunkan tanaman padi wangi di beberapa kawasan pertanian dalam wilayahnya pada tahun ini.
Hasrat ini disuarakan oleh Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff melalui Bahagian Niagatani (BNT) KEDA sempena Lawatan Sambil Belajar ke FGV Paddy Agro Valley (FPAV), Sekinchan baru-baru ini.
Projek tanaman rintis pembangunan padi wangi seluas 120 relong itu, dicadangkan lokasinya dekat Kampung Weng Dalam, Mukim Siong, Baling, Kedah.
Projek tanaman itu dijangka bakal diusahakan pada September atau Oktober tahun ini selepas selesai beberapa dokumen berkaitan tanaman dengan pihak FGV Paddy Agro Valley (FPAV).
Projek rintis ini akan diusahakan oleh petani di bawah bimbingan KEDA dengan kerjasama FGV Paddy Agro Valley (PPAV).
KEDA berhasrat membangunkan tanaman padi wangi sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan petani, ini kerana harga padi beras wangi adalah tinggi berbanding padi beras putih tempatan.

PELBAGAI PERKONGSIAN INFORMASI DIATUR KEDA KEPADA PELAJAR UNIVERSITI ANTARABANGSA ALBUKHARY

SUNGAI PETANI – Seramai 47 pelajar Antarabangsa dari Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) turun padang ke Desa KEDA Tepi Sungai, di sini.
Rombongan pelajar AIU dari pelbagai negara itu tiba di perkarangan Dewan Desa KEDA Tepi Sungai sekitar jam 10 pagi dan disambut oleh kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bersama penduduk kampung.
Program Field Trip Bachelor of Social Development oleh AIU ini mengetengahkan konsep Anak Angkat dengan mahasiswa akan bersama-sama keluarga angkat masing-masing sepanjang program ini bagi merasai pengalaman berada dalam komuniti setempat di utara tanah air ini.
Program ini adalah anjuran bersama Bahagian Pembangunan Komuniti, Pejabat KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan dan Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Tepi Sungai.
Acara telah diurus selia oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat KEDA, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan ianya dimulakan dengan menjemput Dekan Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Prof. Dr Nor Azilah Husin untuk memberikan taklimat ringkas fakulti dibawah pimpinan beliau.
Persatuan Nelayan Kota Kuala Muda juga telah dijemput untuk berkongsi operasi nelayan di sini kepada mahasiswa dan penerangan ini disampaikan oleh Pengurus Persatuan Nelayan Kota Kuala Muda, Puan Farah binti Idros.
Seterusnya adalah perkongsian Agenda Nasional Malaysia Sihat iaitu kempen cara hidup sihat dan dasar-dasar Kementerian Kesihatan Malaysia yang disampaikan oleh Pegawai Pejabat Kesihatan Kuala Muda, Puan Juwita binti Jamil.
Penerangan mengenai KEDA yang disampaikan sendiri oleh Tuan Syed Muhammad Adam. Sesi soal jawab berlangsung aktif dan mendapat sambutan apabila mahasiswa mengajukan pelbagai soalan memandangkan operasi KEDA selari dengan subjek pembelajaran mereka.
Pegawai KEDA yang turut hadir menjayakan program Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA, Puan Yusnida binti Yusoff.

PELAJAR AIU SELAMI KEHIDUPAN DESA KEDA TEPI SUNGAI

SUNGAI PETANI – Seramai 47 pelajar Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) berpeluang menyelami kehidupan masyarakat luar bandar di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Tepi Sungai, Kuala Muda di sini.
Program ‘Field Trip’ iaitu khidmat bakti berkonsepkan anak angkat ini dianjurkan oleh Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial bersama KEDA.
Program selama dua hari ini adalah bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa merasai sendiri budaya dan gaya hidup masyarakat di perkampungan Desa KEDA Tepi Sungai.
Mewakili penduduk desa KEDA Tepi Sungai, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P), Ahmad bin Osman menyambut baik kedatangan mahasiswa ke Desa KEDA ini dan berharap segala budaya dan ilmu kemasyarakatan yang dipelajari dapat dijadikan ilmu baru dan digunapakai dalam pembelajaran dan kehidupan.
Sebagai maklumat, Desa KEDA Tepi Sungai adalah salah satu Desa KEDA yang telah dibangunkan oleh KEDA sejak tahun 1995. Pada tahun 1996, penempatan ini mula diduduki dengan bilangan rumah sebanyak 96 buah rumah dan memberi manfaat kepada 480 orang penduduk di daerah Kuala Muda.
Desa KEDA ini adalah penempatan berkonsepkan sebuah perkampungan tradisi nelayan dan penduduk di sini bekerja sebagai nelayan disebabkan penempatan ini berdekatan dengan persisir pantai.
KEDA berharap agar hubungan silaturahim antara penduduk terutamanya keluarga angkat dapat dikekalkan dan pengalaman yang diperolehi selama dua hari program berlangsung dapat digunakan untuk kehidupan masa hadapan.
Terima kasih kepada mahasiswa dan pihak Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dan penduduk Desa KEDA Tepi Sungai atas program yang bermanfaat ini.

LAWATAN PENANDA ARAS PPRT KEDA KE SABAH

KOTA KINABALU – Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, hari ini mengetuai lawatan kerja pegawai dan kakitangan KEDA untuk melihat secara langsung pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Negeri Sabah.
Sesi ini bermula dengan lawatan ke sebuah rumah PPRT Bina Baharu di pekan Nabalu, Kundasang, Sabah.
Rumah berkenaan telah dibina oleh GiatMara Negeri Sabah. Penerima rumah berkenaan iaitu Encik Felix Mollonius serta ahli keluarganya berasa gembira dengan kehadiran ramai pegawai dan kakitangan KEDA.
Turut serta dalam lawatan berkenaan adalah Pengarah GiatMara Negeri Sabah, Encik Ts. Azizzudin bin A. Aziz.
Pengurus Besar KEDA diberi taklimat berkenaan proses pembinaan rumah berkenaan serta sempat beramah mesra dengan penerimanya.
Sebelum bersurai, Pengurus Besar sudi menyampaikan sumbangan buat Encik Felix dan keluarganya sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang sudi menerima lawatan warga kerja KEDA yang mengikuti lawatan berkenaan.