PROGRAM ISRAK DAN MIKRAJ PERDANA 2025 DI MASJID FUTUHURRAHMAN MERIAH

PROGRAM ISRAK DAN MIKRAJ PERDANA 2025 DI MASJID FUTUHURRAHMAN MERIAH

PENDANG – Program Israk dan Mikraj Perdana 2025 disambut dengan penuh penghayatan oleh penduduk sekitar Pendang di Masjid Futuhurrahman, Asam Jawa, baru-baru ini.
Majlis ilmu ini menampilkan ceramah khas oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) merangkap Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Dr. Akli Ahmad.
Dalam ceramahnya, beliau menekankan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai bukti kebesaran Allah serta penekanan terhadap kepentingan solat sebagai benteng diri daripada maksiat dan dosa.
Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun peristiwa ini kelihatan sukar untuk diterima akal, ia adalah ujian keimanan bagi umat Islam serta bukti bahawa segala yang dikehendaki Allah pasti akan berlaku.
Turut hadir memeriahkan program ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Malaysia, Dato’ Suraya Yaacob, Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Azam bin Omar, Pegawai Pembangunan Zon 3 Pendang/Pokok Sena, Encik Hafiz bin Ahmad, serta Ketua Unit Audit Dalam KEDA, Mohd Hafizuddin bin Mohd Asri.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi ilmu, malah mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat melalui penghayatan nilai-nilai Islam.
JUALAN KASIH KEDA MADANI BALING RINGANKAN BEBAN PERSIAPAN RAMADAN

JUALAN KASIH KEDA MADANI BALING RINGANKAN BEBAN PERSIAPAN RAMADAN

BALING – Dalam usaha membantu rakyat membuat persiapan menyambut Ramadan, Program Jualan Kasih KEDA MADANI yang diadakan di Pejabat Zon 5, Baling, Kedah hari ini mendapat sambutan menggalakkan.
Program ini menawarkan pelbagai barangan keperluan asas dengan harga lebih murah bagi meringankan beban pengguna menjelang bulan puasa dan nisiatif ini memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barangan dapur dengan harga berpatutan, sekaligus mengurangkan kos persiapan Ramadan.
Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah KEDA, YBhg. Dato’ Aminuddin Omar, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengarah FAMA Negeri Kedah, Encik Shaiful Azhar bin Zolkipli dan Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2024 oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Program Jelajah Jualan Kasih KEDA MADANI terus diperluaskan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada penjimatan harga barangan keperluan.
Seorang pengunjung, Nor Fadzila binti Abdullah, 31, dari Desa KEDA Sadek, berkata beliau datang bersama ibu bapanya untuk membeli barangan persiapan Ramadan.
“Saya sangat berpuas hati kerana harga barangan di sini jauh lebih murah berbanding di pasaran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jamal Saidin, 56, yang datang seawal jam 9 pagi bersama isterinya, Nor Hasyimah binti Taib, 53, berkata mereka berjaya mendapatkan barangan asas seperti beras, telur, daging, serta set kombo happy hour pada harga hanya RM10.
“Memang berbaloi membeli di sini… harga jauh lebih murah dengan penjimatan maksimum,” katanya.
Bagi memastikan penduduk mendapat manfaat terbaik, KEDA bekerjasama dengan FAMA Negeri Kedah untuk menawarkan 53 jenis barangan keperluan, termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut, daging segar, dan produk kering keluaran Agromas, dengan potongan harga sehingga 30%.
Inisiatif ini membolehkan penduduk membuat persiapan sahur dan berbuka puasa dengan lebih mudah dan berpatutan.
KEDA komited dalam memastikan rakyat dapat menyambut Ramadan dengan lebih selesa melalui jualan mampu milik ini.
Melalui usaha seperti ini, KEDA berharap masyarakat dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih lancar tanpa tekanan kewangan yang tinggi.
JUALAN KASIH KEDA MADANI BALING PEMBUKA TIRAI 2025

JUALAN KASIH KEDA MADANI BALING PEMBUKA TIRAI 2025

BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah memulakan kembara jualan kasih dengan Program Jualan Kasih KEDA MADANI di Pejabat Zon 5, Baling, menjadi inisiatif awal tahun dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan, khususnya dalam menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) ini diadakan bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, dapat membuat persiapan dengan lebih mudah dan menjimatkan.
Program ini juga merupakan kesinambungan daripada kejayaan jualan tahun lalu dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Jualan Kasih KEDA MADANI ini bertujuan mengurangkan beban rakyat dalam menyediakan keperluan asas dengan penjimatan harga sehingga 30%, bagi mempermudah urusan menyambut bulan Ramadan.
Hadir menyempurnakan majlis adalah Ahli Lembaga Pengarah KEDA, YBhg. Dato’ Aminuddin bin Omar. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengarah FAMA Negeri Kedah, Encik Shaiful Azhar bin Zolkipli dan Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani Romeli.
Jualan kali ini dihoskan oleh Pejabat KEDA Zon 5 yang diketuai oleh pegawainya, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil.
Jualan ini menawarkan lebih 53 jenis barangan asas seperti beras, minyak masak, ikan segar, ayam, sayur-sayuran, dan buah-buahan pada harga subsidi.
Kerjasama erat antara KEDA dan FAMA Negeri Kedah membolehkan rakyat mendapatkan produk berkualiti tinggi terus dari pengeluar dengan harga lebih rendah.
Selain itu, sebanyak 20 produk usahawan KEDA dan FAMA turut dipasarkan dalam program ini sebagai platform memperkasa perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
Menariknya, promosi khas seperti jualan Combo Sale dan Happy Hour turut diadakan bagi memberi lebih banyak peluang penjimatan kepada pembeli.
KEDA komited untuk terus menganjurkan program jualan sebegini di daerah lain sepanjang tahun dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi usahawan tempatan.
PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) 2.0 BERJAYA DIANJURKAN DI DESA KEDA SUNGAI TENGAS

PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) 2.0 BERJAYA DIANJURKAN DI DESA KEDA SUNGAI TENGAS

BANDAR BAHARU – Program Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal (SPIKE) 2.0 telah berjaya dianjurkan di Desa KEDA Sungai Tengas, Bandar Baharu dengan objektif meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal yang sistematik serta amalan kitar semula bagi memelihara alam sekitar.
Program ini telah dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Zon 9 Bandar Baharu, Encik Muhammad Noorhisham Bin Taib, bersama pegawai dari Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP), iaitu Encik Faiz Helmi bin Shukri, Puan Sarina Binti Nor, dan Encik Mohamad Sayuti Bin Jamain.
Turut hadir ialah wakil daripada Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK), Encik Shorizan bin Zamri, serta pihak Syarikat Green Resources Recovery yang menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan sisa pepejal secara lestari.
Selain itu, program ini turut memberi manfaat kepada penduduk dengan penganjuran sesi demonstrasi kitar semula dan pengkomposan sisa makanan, yang membolehkan mereka mempraktikkan konsep kelestarian di rumah masing-masing.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sampah yang dibuang ke tapak pelupusan, malah boleh menjana sumber pendapatan sampingan melalui jualan bahan kitar semula.
Sebagai sebahagian daripada program ini, penyerahan bantuan bakul makanan telah disampaikan kepada 10 penduduk Desa KEDA Sungai Tengas sebagai persiapan menjelang bulan Ramadan Al-Mubarak 1446H.
Pejabat KEDA Zon 9 Bandar Baharu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, dengan harapan kesedaran yang ditanam akan terus diamalkan oleh komuniti setempat demi kelestarian alam sekitar.
PROGRAM BAITI TH DAN KEDA RAIKAN PENERIMA DI KULIM

PROGRAM BAITI TH DAN KEDA RAIKAN PENERIMA DI KULIM

KULIM – Lembaga Tabung Haji (TH) melalui Pejabat Tabung Haji Daerah Kulim telah menyerahkan dua buah rumah kepada peserta perumahan KEDA di Desa KEDA Nagalilit dan Desa KEDA Dingin melalui Program Baiti.
Majlis penyerahan rumah tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus TH Cawangan Kulim, Puan Hajah Zurita binti Khidzir sambil disaksikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar, Penolong Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Anuar bin Omar, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6 Kulim, Encik Mohd Hakim Mohd Nadzir serta Jawatankuasa 4P Desa KEDA Nagalilit
Dua penerima rumah berkenaan ialah Encik Mohd Khairul Jamaluddin sekeluarga yang menerima rumah di Desa KEDA Nagalilit dan Encik Amran Ariffin yang menerima rumah di Desa KEDA Dingin.
Program ini merupakan hasil kolaborasi antara KEDA dan TH dalam usaha membantu golongan asnaf terpilih.
Melalui inisiatif ini, KEDA menyediakan tapak rumah, manakala TH bertanggungjawab membina kediaman bagi penerima yang layak.
KEDA berharap jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai asnaf yang memerlukan mendapat tempat tinggal yang selesa.
Sementara itu, semua penerima diingatkan agar menjaga rumah yang diterima dengan baik serta turut sama menyumbang tenaga dalam pembangunan komuniti Desa KEDA.
KOLABORASI KEDA DAN MYDIN BERIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT KULIM

KOLABORASI KEDA DAN MYDIN BERIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT KULIM

KULIM – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menjalinkan kolaborasi strategik dengan rangkaian pemborong dan peruncit tempatan terkenal tanah air, MYDIN menerusi pembukaan cawangan baharu MYDIN di KEDA Mall@Kulim.
Inisiatif ini dijangka membawa limpahan manfaat kepada rakyat, khususnya golongan miskin dan masyarakat luar bandar di kawasan tersebut.
Majlis perasmian pembukaan pasar raya baharu ini telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom di KEDA Mall@Kulim, Kedah, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, Pengerusi KEDA Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Hasmuni bin Hassan, Pengerusi KEDA Properties And Management Sdn Bhd, Dato’ Shaiful Hazizy Bin Zainol Abidin, Pengarah Urusan Iman Ikhlas (M) Sdn Bhd Mydin Wilayah Utara, Dato’ Dr. Haji Saduruddin Gulam Husen, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Dalam ucapannya, Pengerusi KEDA menyatakan bahawa kolaborasi ini adalah selari dengan gerak kerja baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kolaborasi ini banyak membantu KEDA, khususnya dalam pembangunan anak syarikat kami, KEDA Holdings Sdn Bhd. Pembukaan pusat beli-belah ini adalah manifestasi usaha bagi memastikan kemajuan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat, tanpa mengira sama ada mereka berada di bandar atau luar bandar,” katanya.
Pasar raya dua tingkat yang berkeluasan lebih 30,000 kaki persegi ini diselenggara oleh anak syarikat KEDA, KEDA Properties Sdn Bhd, dan menawarkan lebih 23,000 unit simpanan stok (SKU) merangkumi barangan keperluan harian, keperluan dapur, aksesori, pakaian, serta barangan pasar segar.
MYDIN di KEDA Mall@Kulim merupakan cawangan ke-70 di seluruh negara dan cawangan ketiga di Kedah selepas Sungai Petani dan Alor Setar.
Diharapkan dengan pembukaan cawangan baharu ini, rakyat Kulim khususnya penduduk luar bandar dapat menikmati akses kepada barangan berkualiti dengan harga berpatutan serta menerima limpahan manfaat daripada perkembangan ekonomi dan teknologi yang dibawa oleh MYDIN.
PROGRAM DAURAH KITAB SIRI 2 FOKUS MENUJU RAMADAN

PROGRAM DAURAH KITAB SIRI 2 FOKUS MENUJU RAMADAN

BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan program daurah kitab dalam memperkasa pendidikan agama dengan mengupas mengenai Ramadan yang bakal menjelma.
Program kerohanian ini diteruskan untuk siri kedua di Madrasah Yayasan Al-Huffaz, Kuala Ketil, di sini.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara KEDA dan Yayasan Al-Huffaz, bertujuan untuk memperkukuh pemahaman masyarakat luar bandar terhadap ilmu agama.
Siri kedua ini disampaikan oleh Mudir Pondok Raudhatul Walidan, Tuan Guru Haji Mohd Fakhiradzi Yakob, yang mengupas Kitab 21 Hadis Kelebihan Ramadan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi KEDA, Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman. Turut hadir bersama adalah Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar serta Pengerusi Yayasan Al-Huffaz, Sheikh Haji Muhamad Musa Al-Hafiz.
Semoga dengan percambahan ilmu ini dapat mempersiapkan kita dalam menerima kehadiran Ramadan Kareem, Ramadan yang mulia.
USAHAWAN KEDA SERTAI PROGRAM BLESS TALK 2025

USAHAWAN KEDA SERTAI PROGRAM BLESS TALK 2025

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) telah membawa usahawan KEDA yang terpilih untuk menyertai program Building Leaders and Entrepreneurial Society (BLESS) Talk 2025, anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Program bual bicara keusahawanan ini diadakan di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur dan menampilkan panelis istimewa iaitu Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Wang, serta Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA selaku moderator YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman.
Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar bin Abdul Manaf dan Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada para usahawan mengenai peluang dan sokongan yang tersedia dalam bidang keusahawanan, selain itu ia turut memupuk pemikiran strategik dalam kalangan usahawan untuk menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing di pasaran.
Penyertaan usahawan KEDA dalam program ini diharapkan dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan serta memanfaatkan pelbagai inisiatif dan bantuan yang ditawarkan oleh agensi berkaitan.
PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) 2.0 DI DESA KEDA MALAU, JITRA

PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) 2.0 DI DESA KEDA MALAU, JITRA

KUBANG PASU – Program Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal (SPIKE) 2.0 di Wilayah KEDA telah diadakan di Desa KEDA Malau, Jitra, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman komuniti mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal secara sistematik serta berkesan.
Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam memupuk kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar dalam kalangan penduduk luar bandar.
Program ini telah dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Zon 8 Kota Setar/Kubang Pasu, Encik Muhamad Ramlan Bin Jaafar, bersama beberapa pegawai KEDA termasuk Encik Shorizan bin Zamri dari Bahagian Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Izham bin Ibrahim dan Encik Zulkifli bin Jaafar dari Bahagian Hartanah dan Prasarana KEDA.
Turut hadir ialah wakil daripada Green Resource Recovery, Encik Muhamad Syafiq bin Mohd Zuki, yang berkongsi kepakaran mengenai teknik kitar semula dan kaedah pelupusan sisa pepejal yang mesra alam.
Sepanjang program ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai kaedah pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif, termasuk konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) serta kepentingan pengasingan sisa dari sumber.
Taklimat yang disampaikan memberi penekanan terhadap kesan negatif pembuangan sampah secara tidak terkawal dan bagaimana amalan yang lebih lestari boleh membantu mengurangkan pencemaran serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Selain aspek kesedaran alam sekitar, program ini turut diserikan dengan penyampaian bantuan peralatan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial KEDA dalam menyokong pendidikan anak-anak desa.
Di samping itu, cabutan bertuah turut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang hadir dan memberikan sokongan kepada program ini.
Pejabat KEDA Zon 8 Kota Setar/Kubang Pasu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan program sebegini dapat terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat luar bandar lebih peka terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.
PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) DI DESA KEDA BENDANG PERANG

PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) DI DESA KEDA BENDANG PERANG

POKOK SENA – Program Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal (SPIKE) telah berjaya dianjurkan di Desa KEDA Bendang Perang, Pokok Sena dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan bagi menjayakan inisiatif ini.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal yang sistematik dan mesra alam dan memberi pendedahan kepada penduduk tentang kaedah terbaik dalam mengurus dan mengitar semula sisa pepejal, sekali gus membantu dalam pemeliharaan alam sekitar.
Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Zon 3 Pendang/Pokok Sena, Encik Mohd Hafiz Bin Ahmad, bersama Encik Faiz Helmi bin Shukri dari Bahagian Hartanah dan Prasarana serta wakil pegawai daripada Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah wakil dari Green Resource Recovery yang menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan sisa pepejal yang efektif.
Sebagai sebahagian daripada program ini, beberapa agensi telah mengadakan pameran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang peranan mereka dalam pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
Antara agensi yang terlibat ialah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PERKESO, Jabatan Alam Sekitar, Kolej KEDA, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pejabat KEDA Zon 3 Pendang/Pokok Sena merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini serta berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan kesejahteraan dan kebersihan kawasan persekitaran sentiasa terjaga.