SAMBUTAN MERIAH SIRI AKHIR IFTAR KEDA MADANI 2025

SAMBUTAN MERIAH SIRI AKHIR IFTAR KEDA MADANI 2025

KUALA MUDA – Seramai lebih 300 orang terdiri golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak hadir menjayakan Majlis Iftar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Sungai Petani yang diadakan di Desa KEDA Tepi Sungai di sini.
Cuaca yang baik bagai mengiringi kemeriahan majlis yang diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Hajah Shahanim binti Mohamad Yusoff, Pengerusi Penasihat GiatMara Sungai Petani.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan, Encik Mohd Khairul bin Ahmad.
YBhg. Dato’ Shahanim dalam ucapannya sempat mengucapkan tahniah kepada Hajah Afifah yang telah dilantik sebagai Pengurus Besar KEDA dan merupakan pengurus besar wanita yang pertama. Beliau turut memohon agar KEDA meneruskan tanggungjawab membangunkan kawasan luar bandar terutamanya dalam parlimen Sungai Petani kerana masih ramai golongan miskin yang memerlukan perhatian kerajaan.
Beliau juga turut sudi menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 orang penerima terpilih daripada penduduk Desa KEDA Tepi Sungai.
Rata-rata penduduk yang hadir dalam majlis mengucapkan terima kasih kepada KEDA yang meneruskan tradisi majlis iftar di Desa KEDA dan berharap aktiviti ini akan terus diadakan di masa hadapan.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Sungai Petani di Desa KEDA Tepi Sungai Kuala Muda.
PEMBANGUNAN LUAR BANDAR TERUS DIPERHEBAT DENGAN PELBAGAI STRATEGI

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR TERUS DIPERHEBAT DENGAN PELBAGAI STRATEGI

NAKA – Kerajaan persekutuan yang diterajui Kerajaan Perpaduan dengan aspirasi MADANI yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, terus komited membangun dan memajukan kawasan luar bandar tanpa mengenepikan mana-mana pihak.
Malah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dipimpin sendiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi sendiri telah memperkenalkan beberapa fokus strategik bagi meneruskan agenda pembangunan desa.
YBhg. Dato’ Seri Diraja Mahdzir bin Khalid, Pengerusi Yayasan Kemiskinan Darul Aman berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Padang Terap yang diadakan di Desa KEDA Pong Selatan.
Tambah beliau, masyarakat luar bandar dan desa perlu ingat dan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas penyampaian perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Sokongan rakyat amat diperlukan untuk menjamin sebuah pentadbiran yang stabil dan prihatin akan kebajikan “orang kampung”.
Majlis Iftar KEDA Madani di sini menerima kehadiran membanggakan apabila lebih 350 orang penduduk hadir untuk sama-sama menjayakan majlis dan berbuka puasa.
Turut hadir dalam majlis ini adalah YBhg. Dato’ Sri Haji Ghazali bin Haji Ibrahim, Naib Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, YBhg. Dato’ Badrul Hisham bin Hashim, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA dan Encik Mohd Shahurin bin Mad Isa, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 2, Padang Terap.
Dalam majlis berkenaan, YBhg. Dato’ Seri Mahdzir turut sudi menyampaikan sumbangan bakul kepada 20 penerima terpilih untuk membantu mereka dalam persiapan menyambut Syawal.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat Parlimen Padang Terap yang diadakan di Desa KEDA Pong Selatan.
BELIA DESA KEDA ZON UTARA DIBERI TAKLIMAT PENUBUHAN KELAB BELIA

BELIA DESA KEDA ZON UTARA DIBERI TAKLIMAT PENUBUHAN KELAB BELIA

ALOR SETAR – Belia Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon Utara telah diberi pendedahan mengenai penubuhan dan peranan pertubuhan belia dalam satu sesi taklimat yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar, hari ini.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Komuniti dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah ini bertujuan menggalakkan belia untuk bergiat aktif dalam pertubuhan belia serta memainkan peranan positif dalam pembangunan masyarakat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Puan Nor Azma binti Deris, Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar serta Penolong Pendaftaran Kanan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Wilayah Zon Utara, Puan Noor’ Aziah binti Ali@Ahmad.
Dalam ucapannya, Puan Hajah Afifah menjelaskan mengenai peranan dan operasi KEDA dalam membantu masyarakat luar bandar.
Beliau turut menekankan kepentingan belia untuk berdikari dan mencari inisiatif sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan KEDA.
“KEDA amat menggalakkan belia Desa KEDA untuk menyertai pertubuhan belia bagi memupuk semangat tanggungjawab, patriotisme dan kesukarelawanan dalam kalangan mereka,” katanya.
Beliau berharap sesi taklimat ini menjadi langkah awal bagi belia Desa KEDA untuk bergerak aktif dalam pertubuhan belia dan melahirkan generasi belia yang lebih cemerlang serta berdaya saing.
USAHAWAN KECIL WANITA LUAR BANDAR MAMPU JANA EKONOMI SETEMPAT

USAHAWAN KECIL WANITA LUAR BANDAR MAMPU JANA EKONOMI SETEMPAT

BANDAR BAHARU – Peranan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam membantu dan memperkasakan usahawan industri kecil dan sederhana dalam kawasan luar bandar amat dihargai oleh banyak pihak terutama mereka yang menerima manfaat secara langsung.
Telah ramai usahawan berjaya yang dapat dicungkil potensi mereka oleh KEDA di peringkat awal dan terus dikembangkan sehingga mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Peranan KEDA dalam memperkasakan usahawan ini seharusnya dapat diperluaskan kepada golongan usahawan wanita yang masih berada di peringkat kecil agar mereka juga berpeluang mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih baik dan mampu menjana ekonomi setempat.
Saranan berkenaan diberikan oleh Puan Nor Azila binti Abd Rashid, Pengerusi Penasihat Kolej Komuniti Bandar Baharu semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat DUN Bandar Baharu yang berlangsung di Desa KEDA Sungai Kecil Ilir.
Menurut beliau lagi, wanita diibaratkan sebagai tulang belakang sesebuah keluarga. Maka peranan usahawan kecil wanita untuk berniaga atau menjalankan perusahaan kecil, perlu disokong dan dibantu oleh KEDA atau mana-mana agensi, agar mereka mampu menjana pendapatan tambahan kepada isi rumah.
Malah dengan bantuan yang diberi, mungkin usahawan wanita ini mampu menjana ekonomi setempat dengan melibatkan kumpulan wanita dalam komuniti berkenaan.
Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di Desa KEDA Sungai Kecil Ilir itu dihadiri kira-kira 270 orang penduduk tempatan terdiri pelbagai golongan masyarakat. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 9, Bandar Baharu, Encik Muhammad Noorhisham bin Taib.
Dalam majlis itu juga diadakan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 30 orang penerima terpilih daripada warga emas dan mereka yang memerlukan, telah disampaikan oleh Puan Nor Azila sendiri bersama Encik Khairul Azmeer.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di Desa KEDA Sungai Kecil Ilir.
PENDIDIKAN TVET PELUANG TERBAIK BUAT ANAK MUDA DESA

Dilindungi: PENDIDIKAN TVET PELUANG TERBAIK BUAT ANAK MUDA DESA

Kandungan ini dilindungi kata laluan. Untuk melihatnya sila masukkan kata laluan di bawah.

PUSPANITA KEDA SERTAI PENYEDIAAN ONDE-ONDE TERBANYAK RAMFEST, KKDW, CATAT MALAYSIA BOOK OF RECORDS

PUSPANITA KEDA SERTAI PENYEDIAAN ONDE-ONDE TERBANYAK RAMFEST, KKDW, CATAT MALAYSIA BOOK OF RECORDS

ALOR SETAR – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menyertai program penyediaan onde-onde terbanyak sempena RAMFEST, yang berlangsung di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, hari ini.
Program ini dianjurkan oleh PUSPANITA Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Putrajaya dengan penglibatan 10 agensi di bawah KKDW.
Program julung kali ini bertujuan mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records, dengan sasaran penyediaan 20,000 biji onde-onde secara keseluruhan.
PUSPANITA KEDA berjaya menyumbang sebanyak 3,100 biji onde-onde, hasil kerjasama 60 ahli jawatankuasa dan ahli PUSPANITA KEDA, yang berganding bahu dalam memastikan kejayaan acara ini.
Menariknya, program ini turut disiarkan secara serentak dari 10 agensi KKDW di seluruh negara, membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan acara secara langsung.
Keunikan ini bukan sahaja meningkatkan keterlibatan peserta tetapi juga membuktikan semangat kesepaduan antara agensi dalam menjayakan acara berskala besar.
Turut hadir bagi menyokong dan memeriahkan program ini ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, yang juga merupakan Pengerusi PUSPANITA KEDA.
Penyertaan PUSPANITA KEDA dalam program ini bukan sahaja menyokong usaha mencipta rekod kebangsaan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara agensi di bawah KKDW melalui aktiviti berasaskan warisan kulinari tempatan.
Program ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk mempromosikan makanan tradisional Melayu kepada generasi baharu, di samping memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan ahli.
Dengan pencapaian ini, PUSPANITA KEDA terus komited dalam menyokong aktiviti yang bukan sahaja memberi impak kepada komuniti, tetapi juga mengharumkan nama organisasi di peringkat nasional.
MAJLIS IFTAR KEDA MADANI 2025 PERKUKUH UKHUWAH DAN KEPRIHATINAN SESAMA KOMUNITI

MAJLIS IFTAR KEDA MADANI 2025 PERKUKUH UKHUWAH DAN KEPRIHATINAN SESAMA KOMUNITI

LANGKAWI – Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia Daerah Langkawi telah menganjurkan Majlis Iftar KEDA Madani 2025 di Desa KEDA Wang Tok Rendong, bertujuan memperkukuh silaturahim serta menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Majlis dimulakan dengan program penyerahan bakul makanan dari rumah ke rumah kepada 10 orang penerima asnaf yang uzur dan sakit terlantar.
Sumbangan ini disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim, bersama Penolong Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Daerah Langkawi, Encik Normaizi bin Untong.
Bakul makanan ini adalah hasil sumbangan bersama pihak Akademi Kenegaraan Malaysia dan Pejabat KEDA Zon 1 Langkawi, sebagai usaha menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan sesi penerangan mengenai program dan inisiatif yang dijalankan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia dalam memperkasakan ilmu kenegaraan serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selepas berbuka puasa secara berjemaah, majlis diserikan lagi dengan sesi penyerahan bakul makanan kepada ibu bapa tunggal dan orang kurang upaya (OKU), menjadikan jumlah keseluruhan penerima sumbangan sebanyak 50 orang.
Seramai 150 orang menghadiri majlis ini, termasuk kakitangan Pejabat KEDA Zon 1 Langkawi, Akademi Kenegaraan Malaysia Daerah Langkawi, serta warga Desa KEDA Wang Tok Rendong.
Pejabat KEDA Zon 1 Langkawi merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa 4P Desa KEDA Wang Tok Rendong dan Jawatankuasa Masjid As-Sofiah atas kerjasama erat dalam memastikan kelancaran majlis ini.
Semoga inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha memperkukuh perpaduan dan kebajikan dalam komuniti.
SELAMAT BERTUGAS PENGURUS BESAR KEDA YANG BAHARU

SELAMAT BERTUGAS PENGURUS BESAR KEDA YANG BAHARU

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) hari ini mengadakan simbolik masuk pejabat kepada Pengurus Besar yang baharu, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Ketibaan beliau disambut oleh barisan pengurusan tertinggi dan kakitangan KEDA dalam satu sesi ringkas namun penuh bermakna.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Sesi seterusnya bersambung dengan amanat dan pesanan Pengurus Besar sendiri. Dalam ucapannya, YBhg. Puan Hajah Afifah menzahirkan penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan dan menyatakan komitmen beliau untuk meneruskan agenda pembangunan luar bandar yang menjadi teras utama KEDA.
Dengan pengalaman luas dalam selok belok dan pengurusan di KEDA ini, pelantikan YBhg. Puan Hajah Afifah sebagai Pengurus Besar KEDA yang ke-12 dan yang pertama dari kalangan wanita ini diharap dapat memperkukuh usaha KEDA dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat luar bandar di negeri Kedah.
Tahniah sekali lagi buat Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
BANTUAN EKONOMI KEDA SELARAS FOKUS UTAMA KKDW BAGI TAHUN 2025

BANTUAN EKONOMI KEDA SELARAS FOKUS UTAMA KKDW BAGI TAHUN 2025

BEDONG – Tugas dan tanggungjawab Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi kumpulan sasar sentiasa menjadi keutamaan dan diteruskan dalam tahun ini.
Langkah ini seiring dengan hasrat YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang mahu menjadikan pembangunan ekonomi sebagai salah satu fokus utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun 2025 ini disamping pembangunan modal insan, keusahawanan dan reformasi birokrasi.
Segala bentuk bantuan ekonomi yang disediakan oleh KEDA bukan sahaja untuk individu miskin tegar dan miskin yang berkelayakan, malah turut dibantu adalah institusi desa agar mampu menjana pendapatan bagi melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti, serta mampu berdikari dalam jangka masa panjang.
Perkara ini dinyatakan oleh YBhg. Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom, Pengerusi KEDA, semasa hadir menyempurnakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Jerai yang diadakan di Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, di sini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengerusi KEDA Properties and Management Sdn Bhd, YBhg. Dato’ Shaiful Hazizy bin Zainol Abidin, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan, Encik Khairul bin Ahmad.
YBhg. Dato’ Seri Jamil Khir dengan diiringi dif-dif kehormat berkesempatan menyampaikan simbolik penyerahan bantuan projek ekonomi KEDA iaitu Projek Baik Pulih Pembangunan Infrastruktur Pelancongan Desa, Program Pemerkasaan Generasi Pewaris dan Program Pemantapan Pengurusan Organisasi Luar Bandar kepada penerima yang berjaya.
Beliau turut sudi menyantuni mereka yang kurang berkemampuan dengan menyampaikan sendiri sumbangan bakul makanan dengan harapan sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka.
Terima kasih kepada semua yang hadir menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Jerai.
Semoga Ramadan kali ini dapat membawa erti ketakwaan dan berkat dalam menjadikan kita hamba kepada Allah Yang Maha Esa.
DESA KEDA KOTA AUR PENUTUP SIRI IFTAR KEDA DAERAH SIK

DESA KEDA KOTA AUR PENUTUP SIRI IFTAR KEDA DAERAH SIK

SIK – Majlis Iftar Ramadan di Desa KEDA Kota Aur kelmarin menjadi penutup kepada Siri Iftar Desa KEDA Daerah Sik, menjadikannya majlis keenam dan terakhir dalam siri program berbuka puasa anjuran Pejabat KEDA Zon 4 Sik.
Seperti tradisi, program dimulakan dengan Ziarah Kasih yang melibatkan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada penduduk Desa KEDA yang uzur dan terlantar sakit.
Sumbangan ini telah disempurnakan oleh kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P), sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan komuniti setempat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas, sebelum para hadirin bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
Pejabat KEDA Zon 4 Sik merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa 4P serta penduduk kampung yang telah bekerjasama menjayakan program ini.
Penganjuran majlis berbuka puasa di enam Desa KEDA di daerah ini sepanjang Ramadan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat, tetapi juga memperkukuhkan nilai kemasyarakatan dan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk.