KURSUS PENGURUSAN JENAZAH SIRI 1 TAHUN 2024

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH SIRI 1 TAHUN 2024

ALOR SETAR – Pengurusan jenazah adalah fardu kifayah dan wajib dipelajari dan diketahui oleh semua umat islam. Perkara ini tidak hanya perlu diketahui oleh imam-imam, tetapi ianya adalah ilmu yang wajib dipelajari oleh semua.
Justeru itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Jawatankuasa Pengurusan Surau An-Nur KEDA telah mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah Siri 1 Tahun 2024 di Surau An-Nur, Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar baru-baru ini.
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada kakitangan KEDA tentang cara pengurusan jenazah yang betul apabila berlaku kematian.
Program ini disertai 30 kakitangan lelaki KEDA dan semua peserta yang terlibat berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah dan lain-lain hal yang berkaitan program.
Antara pengisian program ini termasuklah penerangan teori pengurusan jenazah, latihan praktikal pengurusan jenazah dan sesi soal jawab.
Kursus ini dimulakan dengan sesi ceramah dan diteruskan sesi praktikal berkaitan kewajipan orang hidup kepada orang mati meliputi mandi, kafan dan solat jenazah yang disampaikan oleh Penceramah jemputan iaitu Pesara Jabatan Penjara Malaysia, Ustaz Sarbani bin Saad.
Selain itu, mempelajari cara pengurusan jenazah merupakan antara inisiatif yang dapat mengingatkan kita kepada kematian terutama sekali bagi masyarakat Islam dan betapa signifikannya mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan perkara ini agar setiap umat Islam mampu untuk membantu menguruskan jenazah terutama sekali jenazah ahli keluarga sendiri pada masa hadapan.
BENGKEL KOPERASI BERSAMA PEGAWAI PELAKSANA DAN PENYELIA KOPERASI DESA-DESA KEDA TAHUN 2024

BENGKEL KOPERASI BERSAMA PEGAWAI PELAKSANA DAN PENYELIA KOPERASI DESA-DESA KEDA TAHUN 2024

KUALA MUDA – Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menganjurkan Bengkel Koperasi Bersama Pegawai Pelaksana dan Penyelia Koperasi Desa-Desa KEDA Tahun 2024, bertempat di The Jerai Hotel, Sungai Petani, baru-baru ini.
Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 60 orang, terdiri daripada Pegawai Pelaksana dan Penyelia Koperasi Desa-Desa KEDA.
Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang pengurusan asas koperasi, menyelesaikan masalah yang sering timbul dalam koperasi, serta membuka peluang untuk menggerakkan koperasi secara lebih efektif di kalangan masyarakat luar bandar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, yang turut menekankan kepentingan koperasi dalam membangunkan ekonomi komuniti desa.
Program dimulakan pada jam 9 pagi dengan sesi pertama bertajuk “Pengurusan Asas Koperasi”, yang disampaikan oleh Pengarah Zon Utara Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Puan Yusnita binti Othman. Beliau memberi penerangan mendalam mengenai asas pengurusan koperasi yang berkesan.
Sesi kedua pula menyaksikan Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar, berkongsi pandangannya mengenai usaha libat urus yang lebih komprehensif untuk pembangunan koperasi di Desa KEDA, dengan menekankan peranan aktif setiap anggota dalam memastikan kelestarian koperasi.
Setelah rehat dan makan tengah hari, sesi terakhir menampilkan ceramah motivasi oleh Encik Azki Hafizi bin Ibrahim, Jurulatih Utama Smart Triple IQ Sdn. Bhd., yang memberikan suntikan semangat kepada para peserta dalam menggerakkan koperasi dengan lebih berdaya maju.
Program ini diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta dalam memajukan koperasi di kawasan desa, sejajar dengan objektif KEDA untuk memperkasa komuniti luar bandar.
USAHAWAN KEDA SIK TIMBA ILMU DI MAHA 2024

USAHAWAN KEDA SIK TIMBA ILMU DI MAHA 2024

SERDANG – Seramai 40 orang usahawan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sik yang sebahagian besarnya terlibat dalam Projek Bersepadu Pembangunan Kampung (PROSPEK) Teloi, termasuk kepimpinan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) serta kakitangan Pejabat KEDA Zon 4, Sik, telah menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para usahawan menimba ilmu dalam bidang pertanian dan ekonomi, sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam mengusahakan perniagaan berkaitan.
Dengan pendedahan yang diberikan, para peserta dijangka dapat mengaplikasikan teknologi dan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti mereka, selaras dengan matlamat pembangunan ekonomi luar bandar yang diusahakan oleh KEDA.
Dalam masa yang sama, penyertaan kepimpinan 4P diharap dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk menerapkan idea-idea baru bagi kemajuan kampung-kampung di bawah PROSPEK Teloi.
Penyertaan ini adalah hasil usaha Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP) KEDA dan Pejabat KEDA Zon, 4 yang komited dalam memberi peluang kepada para usahawan untuk berkembang dan berjaya dalam sektor agro pelancongan dan pertanian.
Semoga ilmu yang diperoleh mampu meningkatkan produktiviti dan memberi impak positif kepada komuniti kampung.
KEDA RESORT BENDANG MAN JADI LOKASI MENGINAP KEDA BIKERS

KEDA RESORT BENDANG MAN JADI LOKASI MENGINAP KEDA BIKERS

SIK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Resort Bendang Man, di sini telah menjadi lokasi 67 penunggang motosikal KEDA Bikers dan jemputan luar dalam siri jelajah Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia KEDA Tahun 2024 kali ini.
Ketibaan konvoi adalah pada jam 4.30 petang dan majlis terus disambung dengan Sesi Minum Petang Apresiasi KEDA Bikers.
Dalam sesi ini, Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang juga merupakan ketua konvoi ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama barisan urusetia. Tidak dilupakan juga adalah penunggang motosikal jemputan luar yang setia dari siri yang pertama lagi pada 25 dan 26 Ogos yang lain.
Dalam sesi ini juga turut diadakan sesi cabutan bertuah dengan hadiah utama adalah helmet premium kepada pemenang.
Keesokkan, sebelum bertolak ke Desa KEDA Ulu Bakai, Baling, semua peserta bergambar di beberapa lokasi menarik di sini termasuk berlatarbelakngkan sungai yang menjadi tumpuan penduduk Kedah untuk bermandi manda dengan keadaan sungai yang cantik dan terjaga.
KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA BERAKHIR DI DESA KEDA ULU BAKAI

KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA BERAKHIR DI DESA KEDA ULU BAKAI

BALING – Siri 2 Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia tahun 2024 ini berakhir dengan Desa KEDA Ulu Bakai, di sini menjadi lokasi terakhir jelajah ini.
Seramai 67 orang penunggang motosika mewakili KEDA Bikers dan jemputan luar telah disambut mesra oleh penduduk desa ini yang menganjurkan program agensi bersama komunti.
Program yang turut mendapat kerjasama Pejabat KEDA Zon 5, Baling ini membabitkan aktiviti agensi bersama komuniti ini adalah salah satu usaha kepada agensi untuk memperkenal perkhidmatan mereka kepada penduduk desa.
Antara agensi yang terlibat adalah Klinik Kesihatan, Klinik Pergigian, Koperasi Gua Sireh dan lain-lain.
Selain pameran, turut diselitkan penyerahan bendera Malaysia dan bakul makan dan sebagainya.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang juga merupakan ketua konvoi untuk siri ini.
Desa KEDA Ulu Bakai adalah pemenang tempat ketiga Anugerah Desa KEDA Madani tahun 2024.
MALAM SANTAI JIWA MERDEKA DI ZON 4, SIK BERLANGSUNG MERIAH

MALAM SANTAI JIWA MERDEKA DI ZON 4, SIK BERLANGSUNG MERIAH

SIK – Walaupun dengan cuaca hujan di awal program, ianya tidak mematahkan semangat dan minat 300 orang penduduk Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Semiar dan sekitar untuk memeriahkan Malam Santai Jiwa Merdeka anjuran Pejabat KEDA Zon 4, Sik, di sini.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang hadir bersama-sama 67 penunggang motosikal KEDA Bikers dan jemputan luar yang terlibat dalam Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia KEDA Tahun 2024.
Malam Santai Jiwa Merdeka ini membawa kelainan dari segi bentuk sambutan merdeka dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti deklamasi sajak, penyerahan bendera kepada Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P), serahan bantuan bakul makanan dan persembahan nynayian dari pemperanguh terkenal iaitu Cikgu Meera bersama pasukan buskersnya.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg Mejar Jeneral (B), Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom. Selain Pengurus Besar KEDA, antara tetamu yang turut hadir adalah Pengerusi KEDA Resort and Holidays Sendirian Berhad, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim, Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar.
Turut hadir mewakili kerajaan negeri adalah Encik Mohd Fazaidi bin Saidin, Penghulu Mukim Jeneri dan Encik Mohd Yusof bin A. Rasid, Penghulu Mukim Teloi
Paling mencuri tumpuan apabila tiba sesi persembahan oleh 3 orang penduduk terawal yang tinggal di Desa KEDA Sungai Semiar termasuk Pengerusi 4P, Ismail bin Osman yang mengadakan persembahan nyanyian lagu klasik lama yang asyik dan mempersonakan.
Turut dianjurkan sesi perkongsian pembukaan Desa KEDA Sungai Semiar oleh penduduk awal bersama pengacara, Encik Mohd Zaiem bin Johari dari Pejabat KEDA Zon 4, Sik.
Semua desa KEDA yang berada dalam daerah Sik ini turut membuka booth makanan yang boleh diambil percuma oleh penonton dengan pelbagai juadah seperti cucur jawa, nasi berlauk, apam balik, air balang dan sebagainya.
DESA KEDA SEMELIANG, CHECK POINT KEDUA PESERTA KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA 2024

DESA KEDA SEMELIANG, CHECK POINT KEDUA PESERTA KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA 2024

PADANG TERAP – Desa KEDA Semeliang, Padang Terap dipilih sebagai lokasi check point kedua dalam Program Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia 2024 bertemakan Malaysia Madani Jiwa Merdeka.
Check point pertama ialah Desa KEDA Wang, sebelum konvoi meneruskan perjalanan ke Desa KEDA Semeliang.
Program ini diadakan bagi meraikan semangat perpaduan dan patriotisme melalui pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung.
Antara aktiviti yang berlangsung termasuk penyerahan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan, sesi penyerahan bendera Malaysia kepada komuniti setempat, dan jamuan makan bersama penduduk kampung.
Penduduk Desa KEDA Semeliang menyambut baik kehadiran 67 peserta konvoi yang menaiki motosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Kehadiran mereka disambut meriah oleh penduduk yang gembira melihat semangat kemerdekaan yang dibawa oleh peserta konvoi.
Serentak dengan sambutan program konvoi ini juga, telah diadakan majlis pelancaran Pasukan Bomba Komuniti Desa-Desa KEDA Zon 2 Padang Terap. Pelancaran ini disempurnakan oleh YBhg. Tuan Azhar bin Mohamad, Penguasa Kanan Bomba 2, Ketua Cawangan Bahagian Keselamatan dan Kebakaran Zon 1 Kota Setar. Turut hadir adalah Tuan Aminuddin bin Mad Khozali, Ketua Balai Bomba Kuala Nerang.
Semangat Hari Malaysia jelas terpancar sepanjang program ini, dengan para peserta menunjukkan komitmen dan semangat patriotik yang tinggi bagi memperkukuh hubungan antara masyarakat luar bandar dan peserta konvoi.
PENDUDUK DESA KEDA WANG SAMBUT BAIK PROGRAM SEMARAK HARI MALAYSIA 2024

PENDUDUK DESA KEDA WANG SAMBUT BAIK PROGRAM SEMARAK HARI MALAYSIA 2024

KUBANG PASU – Program Semarak Hari Malaysia 2024 bertemakan “Malaysia Madani Jiwa Merdeka” yang berlangsung baru-baru ini di Desa KEDA Wang mendapat sambutan meriah daripada penduduk kampung.
Penduduk kampung beramai-ramai turun padang dan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan, termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan bola jaring, pertandingan rumah ceria kemerdekaan, serta penyerahan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom dan Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, yang turut memeriahkan acara dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Lebih menarik, seramai 67 peserta konvoi bermotosikal yang terdiri daripada kakitangan KEDA turut serta dalam program tersebut. Ketibaan mereka disambut dengan sorakan penduduk tempatan yang sedang menyaksikan peringkat akhir aktiviti-aktiviti yang diadakan.
Program Semarak Hari Malaysia ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara warga kerja KEDA dengan komuniti Desa KEDA Wang, selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam menyambut Hari Malaysia.
PROGRAM KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA 2024 MERAIKAN KOMUNITI DESA KEDA

PROGRAM KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA 2024 MERAIKAN KOMUNITI DESA KEDA

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berjaya menganjurkan Program Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia pada 8 dan 9 September 2024 yang melibatkan penyertaan seramai 67 orang kakitangan KEDA melalui KEDA Bikers dan penunggang jemputan luar.
Konvoi ini diadakan bagi meraikan sambutan Hari Malaysia bersama komuniti di desa-desa KEDA di beberapa daerah di Kedah.
Konvoi ini memulakan perjalanan dari Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, dengan majlis pelepasan konvoi disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.
Turut serta dalam konvoi ini ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang juga merupakan ketuan konvoi bermotosikal ini.
Objektif program ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan antara warga kerja KEDA dengan komuniti desa dalam meraikan semangat perpaduan sempena Hari Malaysia.
Lebih menarik, sesi santunan ini dianjur dengan cara berbeza iaitu melalui konvoi bermotosikal.
Konvoi kali ini adalah siri kedua selepas kejayaan Konvoi Semarak Kasih Merdeka yang diadakan pada 25 & 26 Oktober 2024 baru-baru ini.
Beberapa Desa KEDA yang terlibat sebagai check point konvoi ini termasuklah Desa KEDA Wang, Kubang Pasu, Desa KEDA Semeliang, Padang Terap, Desa KEDA Sungai Semiar, Sik, dan Desa KEDA Ulu Bakai, Baling. Kesemua desa yang terpilih merupakan wakil pejabat zon masing-masing bagi Anugerah Desa KEDA Madani Tahun 2024.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan di setiap destinasi konvoi bagi memeriahkan sambutan, antaranya penyerahan bendera kepada kepimpinan desa, penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan dan hebahan bergerak lagu patriotik oleh Jabatan Penerangan.
Lebih menarik untuk siri kedua ini, Pejabat KEDA Zon 4, Sik telah menganjurkan Malam Santai Jiwa Merdeka yang mengetengahkan persembahan patriotik dari pelbagai bentuk genre.
Mereka telah menyediakan aktiviti memanah, kenduri rakyat, cabutan bertuah serta persembahan kumpulan gendang silat, deklamasi sajak, buskers dan lagu patriotik oleh pempengaruh terkenal, Cikgu Meera.
Selain itu, kedua-dua siri ini mendapat kerjasama baik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah melalui penglibatan sebagai peserta dan penyediaan pasukan kawalan keselamatan konvoi.
Selain itu, sumbangan ikhlas turut diberikan kepada seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS) yang menghidap penyakit kanser di Kampung Kepala Batas, Pedu, Kuala Nerang yang tular di media sosial.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, dalam ucapannya berkata, program ini bukan sahaja meraikan sambutan Hari Malaysia, tetapi juga menyatukan komuniti dan memperkukuhkan hubungan antara KEDA dan masyarakat desa dan semoga usaha seperti ini dapat menjadi inspirasi untuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat di masa hadapan.
“Harga keamanan dan perpaduan ini adalah terlalu mahal dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bagi sesiapa yang cuba memporakperandakan perpaduan maka merekalah yang sebenarnya menghancurkan keamanan”, ujar beliau
Konvoi Semarak Kasih ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KEDA untuk terus komited dalam pembangunan sosial dan ekonomi luar bandar, serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
NABI SEBAGAI IKON YANG PERLU KITA KENAL DAN SAYANG

NABI SEBAGAI IKON YANG PERLU KITA KENAL DAN SAYANG

Padang Terap – Walau disulami curahan hujan, tidak menghalang pelaksanaan Majlis Ceramah Perdana Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Desa-Desa KEDA Zon 2 Padang Terap yang berlangsung di Desa KEDA Bendang Tok Teri, Naka.
Kehadiran Ustaz Zul Ramli bin Mohamad Razali sebagai penceramah utama terus menarik minat pelbagai golongan masyarakat termasuk golongan remaja untuk hadir dan sama-sama menimba ilmu. Beliau dalam ceramahnya menegaskan bahawa sememangnya Baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW adalah ikon kehidupan, bukan sahaja untuk umat Islam malah untuk manusia sejagat.
Perkara asas dalam usaha meletakkan Baginda sebagai ikon adalah kenal dan sayang pada Baginda. Beliau turut menjelaskan dua lagi perkara untuk menjadikan Baginda sebagai panduan dalam kehidupan, adalah sentiasa berselawat dan mengamalkan sunah serta perlunya kita merendahkan diri mengharapkan syafaat daripada Baginda di alam akhirat kelak.
Hadir menyempurnakan majlis adalah YBhg. Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Negeri Kedah. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar, Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Encik Jasnizam bin Husni.
Sambutan Maulidur Rasul dan pelbagai sambutan hari kebesaran Islam yang lain, sering diadakan di setiap Desa KEDA dalam usaha menyemarakkan pembangunan modal. Usaha berterusan ini mampu memberi kefahaman berkaitan Islam dalam kalangan penduduk dan turut memupuk semangat untuk menjayakan program.